Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam.

Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk.
Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.
Ini menyebabkan suasana di sekolah itu kelam-kabut seketika apabila semua mangsa menjerit kuat.
Sejurus selepas itu, Atikah cuba melarikan diri sebelum ditahan beberapa rakan dan gurunya.
Rakan mangsa, Mohd Fairuz Faizin Amran, 16, berkata sejurus kejadian itu, perhimpunan disuraikan dan mangsa dibawa ke bilik berdekatan.
Katanya, rakan serta guru membacakan surah Yasin menyebabkan Atikah tenang seketika sebelum kembali meronta, malah rontaan mangsa diikuti beberapa pelajar perempuan lain yang turut diserang histeria. Menurutnya, pihak sekolah membenarkan semua pelajar sesi pagi pulang pada jam 9.30 pagi dan sekolah dijangka dibuka semula hari ini.

Usah layan jin kafir
“Usah layan permintaan jin kafir jika dilayan keadaan jadi semakin buruk,” kata penceramah bebas, Hassan Mahmud al-Hafiz ketika mengulas mengenai seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Desa Petaling diserang histeria disyaki dirasuk makhluk halus.
Menurutnya, tindakan terbaik memberi amaran kepada jin terbabit supaya keluar dari tubuh badan mangsa dengan meletakkan dua ibu jari ke leher mangsa dan menekan dengan kuat.

Katanya, terdapat tiga langkah menekan bagi menghalau jin terbabit iaitu dengan kadar biasa, tinggi dan paling tinggi jika jin terbabit masih berdegil untuk keluar.

“Langkah lain yang boleh digunakan adalah mengambil lada hitam dan diletakkan di kuku kaki mangsa kemudian tekan dengan kuat sehingga jin itu keluar,“ katanya.

Bantuan Darusshifa
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Petaling akan mendapatkan khidmat perubatan dari Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darusshifa’) bagi menghalau makhluk halus yang mengganggu 10 pelajar termasuk seorang guru di sekolah berkenaan sehingga memaksa sekolah itu ditutup semalam.
Pengerusinya, Iskandar Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian serangan histeria berkenaan semalam.

Katanya, kejadian berkenaan adalah yang pertama kali berlaku di sekolah itu dan pihaknya sentiasa maklum mengenai kesannya kepada pembelajaran pelajar akibat kejadian situ.

“Bagi mengatasi masalah serangan makhluk halus di sekolah itu, kami akan mengadakan majlis bacaan Yasin bagi menghalau makhluk halus itu,” katanya.

One thought on “Gangguan histeria SMK Desa Petaling”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.