ustaz_asriKetua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital berkenaan.

Menurut Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambah anggota Rabbani itu.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Difahamkan, jenazah beliau akan dibawa Bukit Lancong dekat Shah Alam selepas ini.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Asri rebah ketika pegang mikrofon

[youtube]q-hgDEIz38I[/youtube]

Penerbit dan Penyelaras Program Syahaddah, Ibrahim Zaidi Ismail berkata beliau terkejut melihat penyanyi kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim tiba-tiba jatuh sebelum program itu bermula.

“Kira-kira pukul 10.30 Asri masuk ke dalam studio. Sebelum kejadian Asri sedang memegang mikrofon, bagaimanapun beberapa saat sebelum program bermula dia rebah ke lantai,” katanya, sebak.

Beliau berkata kematian Asri meninggalkan kesan kepadanya kerana hari ini adalah hari pelancaran program Syahaddah sempena bulan Ramadan.

“Tahun ini merupakan tahun kelima Asri terlibat dalam program kita. Beliau dipilih sebagai penyeri majlis dan sebagai penyanyi untuk menyanyikan lagu tema program Syahaddah.

“Saya akan ingat tarikh hari ini sampai bila-bila,” katanya.

Pemuzik terkenal tanahair dan bekas pengetua Akademi Fantasia musim kedua dan keenam, Ramli MS berkata pemergian Asri merupakan satu kehilangan besar terhadap industri muzik nasyid negara.

“Susah bagi sesuatu muzik atau lagu itu untuk masuk ke telinga saya. Tetapi bila beliau menyanyi, saya sememangnya nak dengar alunan suaranya… ternyata nyanyian Ustaz Asri boleh mengasyikkan telinga saya dan sedap didengar,” katanya, yang mengenali allahyarham sejak tahun 1980-an lagi.

Ramli berkata allahyarham bukan sahaja bagus di bidang nyanyian tetapi juga mampu membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan baik.

“Beliau adalah seorang yang boleh kita jadikan contoh yang terbaik… dari segi perangai dan kelakuan, beliau sememangnya amat menyenangkan hati sesiapa sahaja,” kata Ramli.

Sumber Malaysiakini.

Daripada Allah kita datang, dan kepadanyalah kita akan dikembalikan. Al Fatihah.

4 thoughts on “Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia mengejut”
  1. Innalillah…
    Setiap yang hidup pasti akan mati.
    Maut boleh menjelma pada bila2 masa, pada sesiapa saja.
    Bersiap siaga lah kita….
    Sebelum maut datang menjelma…..
    al-fatihah utk ustaz asri…

    “Ustaz Asri Dalam Kenangan…”

  2. sy mendoakan ustaz asri bersama dgn org-org beriman dan dimasukkan ke dlm syurga Allah yg begitu indah.sy berharap ahli kumpulan rabbani yg lain teruskn perjuangan anda walaupun ustaz asri tiada di sisi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.