corruptBelum pun sempat menikmati wang sogokan berjumlah RM350,000, seorang perunding pihak berkuasa tempatan negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan berhampiran pejabatnya kerana didakwa meminta wang sogokan daripada syarikat kontraktor bagi memperakui projek naik taraf Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas yang bernilai RM11 juta.

Difahamkan, kejayaan tersebut hasil kerjasama SPRM dan pengadu yang juga kontraktor projek. Perunding itu diperangkap setelah dia diminta datang mengambil wang sogokan itu.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md. Yatim berkata, wang sogokan yang diminta perunding terbabit adalah bagi memperakui kerja yang dilaksanakan sekali gus membolehkan pembayaran dipercepatkan.

Menurutnya, mengikut laporan daripada pemaju terbabit, lelaki berkenaan pada mulanya meminta RM400,000 namun beliau akhirnya bersetuju dengan jumlah RM350,000 seperti yang diminta oleh pengadu.

“Berikutan itu, pengadu membuat laporan kepada SPRM dan hasil kerjasamanya, kita menahan lelaki terbabit.

“Beliau bagaimanapun dibebaskan pagi ini dengan ikat jamin berjumlah RM50,000 oleh dua penjamin selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kertas siasatan mengenai perkara itu sedang disiapkan dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada bahagian pendakwaan.

Latifah menjelaskan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan atau penjara sehingga 20 tahun.

Sumber Utusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.