Best betui kalau pertengahan tahun naik gaji, hujung tahun naik gaji, pendek kata naik 2 kali

Kira-kira 47 peratus pekerja Malaysia menjangka kenaikan gaji antara 5.0 dan 10 peratus tahun ini walaupun ketika kegawatan kewangan, demikian menurut Laporan Kerja Dunia 2010 (WoWR).

Kaji selidik tahunan itu yang dilakukan Randstad, satu organisasi pengambilan pekerja dan perkhidmatan sumber manusia kedua terbesar di dunia, berkata harapan tinggi pekerja bagi mendapatkan pakej gaji dan ganjaran kewangan adalah cabaran yang dihadapi majikan.

Randstad, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan 92 peratus warga kerja Malaysia dan 83 peratus warga kerja Singapura menjangka menerima bonus tahun ini, manakala kira-kira 70 peratus daripada majikan yang ditinjau di Malaysia khuatir akan kehilangan kakitangan kepada pasaran-pasaran lain kerana prospek kerja di luar negara meningkat.

Pengurus Besar dan Pengarah Agensi Pekerjaan Randstad Sdn Bhd, Sahun Nadarajah berkata: “Penjenamaan adalah satu cara kukuh membentuk tenaga kerja bagi setiap organisasi.

“Jika pengalaman sebenar bekerja sepadan dengan nilai syarikat dan unjuran jenama majikan, pekerja akan lebih terangsang, lebih produktif dan lebih setia,” katanya.

Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 29 peratus pekerja Malaysia terangsang oleh fahaman kukuh mengenai bagaimana peranan masing-masing boleh menyumbang kepada pencapaian matlamat organisasi.

Kajian yang dibuat pada Februari, meninjau pendapat lebih 3,000 profesional sumber manusia, pengurus perniagaan dan ketua pegawai eksekutif di seluruh Rantau Asia Pasifik.

– Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.