January 23, 2010

Pemalu lambat dapat jodoh?

Aku dulu kat sekolah seorang yang pemalu. Orang pemalu biasanya tak diangkat jadi pemimpin. Jadi masa sekolah dulu aku cumalah pelajar biasa dan bukan pengawas. Pernah jadi pengawas pusat sumber dulu mungkin disebabkan oleh keputusan exam yang baik kot. Kalau menyingkap balik zaman sekolah dulu, memang banyak kenangan pahit dan manis.

Sifat malu aku berterusan aku rasa sampai lah aku mula nak cari kerja. Sifat malu ni juga datang dengan kurang keyakinan diri. Masa aku mula-mula cari kerja dulu, aku tak dapat. Mungkin bos yang interview aku tu tengok aku macam malu-malu dan macam tak yakin. Dan aku tak dapat kerja tu pada mulanya. Tapi disebabkan aku tak berputus asa, peluang sekali lagi aku dapat kerja tu lepas interview kali kedua dengan syarikat yang sama.

Kalau dulu kat sekolah, aku akan berdebar-debar kalau cakap dengan perempuan( serius). Tambah pulak kalau perempuan tu yang kita suka. Nak cakap kat dia kita suka dia malu. Haish..

Tu cerita dulu. Cerita sekarang ni malu tu dah beransur hilang. Bukannya tak ada sampai tak tahu malu, tapi malu dalam keadaan tertentu la. Yang berpada-pada. Aku dah buat mindset yang malu tu cuma wujud dalam kepala kita aja. Serius berkesan. Kalau sekarang, nak cakap dengan customer pun tak ada masalah. Tak ada malu lagi. Cakap dengan customer bukan Melayu biasanya aku cakap dalam bahasa Inggeris tanpa masalah. Boleh bercakap dengan yakinnya. Sampaikan ada customer aku dulu menawarkan aku kerja jadi penterjemah persidangan, tapi aku tolak sebab aku tak minat dengan kerja macam tu. Aku lebih suka pada bidang teknikal.

Setelah aku dapat track balik member-member lama aku kat Facebook, memasing aku tengok dah beranak pinak. Yela, kalau yang pompuan tu tahun ni masing-masing dah menjangkau umur 30 tahun, kalau tak kawin lagi tak logik la. Budak-budak sekolah aku masa 97 dulu memang cun2. Cuma aku je la bujang lagi. Lambat sikit kot. Maklum la pemalu, lambat dapat jodoh.

p/s: Pemalu lebih baik dari tak tau malu.

Carian kesini:

November 24, 2009

Budaya lepak dan ponteng sekolah dikalangan pelajar

Budaya lepak dan ponteng sekolah bukanlah perkara baru, ianya sudah ada sejak lama dulu cuma istilah lepak tu baru. Kalau nak ikut zaman aku sekolah dulu, tak pernah aku ponteng sekolah semata-mata untuk lepak. Maklumla kelas pandai dulu :P

Zaman aku sekolah dulu mana ada CC lagi kat bandar. Jadi tak ada la istilah lepak-lepak kat CC. Ponteng sekolah tak jadi perkara serius kat sekolah. Masih lagi terkawal.

Berbeza dengan sekarang, budak-budak sekrang bukan setakat ponteng sekolah malah sudah berani melawan guru. Tapi tu cerita lain.

Aku nak ucapkan tahniah kepada sekumpulan guru di JB yang menjadi Paparazi mengintip kegiatan murid-murid yang ponteng. Sekurang-kurangnya ianya mengurangkan gejala ponteng ni kat sekolah. Ibu-bapa dan guru masing-masing sepatutnya bekerjasama untuk mendidik murid-murid dan tidak hanya menyandarkan beban pada guru-guru.

CCJOHOR BAHRU: Misi sekumpulan guru yang terpaksa menjadi ‘paparazi’ selama hampir dua bulan bagi menangani masalah pelajar ponteng di sebuah sekolah di bandar raya ini berjaya merakamkan kira-kira 50 gambar dan video pelajar terbabit melakukan pelbagai kegiatan tidak berfaedah dan bermoral termasuk menonton filem lucah beramai-ramai.

Semuanya akan dijadikan bahan bukti untuk didedahkan pada ibu bapa, sekali gus membuka mata mereka berhubung sikap sebenar anak masing-masing di sekolah berbanding ketika di rumah.

Pengurusan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir di sini, terpaksa mengambil pendekatan berbeza daripada kebiasaan itu bagi membendung gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah berkenaan yang meruncing terutama pada beberapa hari terakhir sebelum tamat penggal persekolahan 2009, Jumaat lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Abdullah Abdul Rahman, berkata langkah itu terpaksa diambil memandangkan timbul keresahan di pihak sekolah dan ibu bapa berikutan bilangan pelajar sekolah berkenaan ponteng pernah mencecah kira-kira 100 orang setiap hari.

Katanya, bilangan pelajar di sekolah berkenaan kira-kira 2,000 orang, namun gejala ponteng sekolah tidak sepatutnya diberi pengecualian dengan mengambil kira jumlah keseluruhan pelajarnya, kerana ia ibarat barah yang boleh merosakkan badan manusia jika tidak dirawat di peringkat awal.

“Sekumpulan guru yang ditugaskan mengawasi pergerakan kumpulan pelajar yang disyaki sebagai kaki ponteng dengan menjadikan lorong berhampiran kawasan sekolah sebagai tempat melepak merakam pelbagai aksi mengejutkan kami.

“Mereka bukan saja berfoya-foya, malah ada yang melepak di kediaman rakan sehingga tamat waktu persekolahan dengan bermain terup, merokok, melakukan vandalisme dan paling mengejutkan ialah menonton filem lucah beramai-ramai,” katanya selepas Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis dirasmikan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor yang turut menyampaikan sijil kepada peserta.

Abdullah berkata, semua gambar dan rakaman itu akan dipertontonkan kepada ibu bapa terutama bagi mereka yang tidak mengakui kesalahan anak masing-masing atau tidak menyedari perbuatan anak-anak terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

“Tindakan ini bukan untuk membuka pekung sesiapa, tetapi lebih kepada menimbulkan kesedaran kepada pihak terbabit dan menunjukkan pihak sekolah berusaha melakukan sesuatu bagi membendung gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar,” katanya.

Menurutnya, PIBG merancang melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ pelajar ponteng sekolah menghabiskan masa dengan membawa bersama ibu bapa pelajar yang disyaki.

Menurutnya, ibu bapa harus sedar peranan mereka juga penting dalam memastikan anak-anak yang keluar rumah pada hari persekolahan, benar-benar sampai di sekolah dan tidak melencong ke tempat lain.

“Hasil rakaman dan gambar itu membantu kami mengurangkan kes pelajar ponteng sekolah, di mana rekod terakhir menunjukkan bilangan pelajar ponteng sekolah ialah kira-kira 30 orang berbanding 100 sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, pihak pentadbiran sekolah dan guru harus memainkan peranan bagi membendung masalah pelajar ponteng sekolah.

Katanya, polis sentiasa membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung tindakan ke arah membendung gejala tidak sihat membabitkan pelajar.

“Gejala ponteng sekolah tidak seharusnya berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Apabila lebih 100 orang dikatakan ponteng sekolah setiap hari, ia sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera,” katanya.

Sumber Metro.

Carian kesini: