April 5, 2010

Siti Nurhaliza Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009

Tahniah buat Datuk Siti Nurhaliza atas anugerah Bintang Paling Pupular ABPBH yang berlangsung di Arena Of Stars Genting Highland. Memang beliau tiada tandingan dan dianggap sebagai artis yang sangat berjaya dalam karier meskipun telah mendirikan rumahtangga.

Ini membuktikan bahawa beliau masih ramai peminat yang sentiasa menyokong beliau.

Memang tidak dinafikan bahawa suara beliau memang sedap, malahan ada lagu yang dinyanyikan semula oleh beliau lebih sedap dan lunak daripada penyanyi asal.

Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merampas kembali gelaran Bintang Paling Popular yang dimenangi empat tahun lalu pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Penyanyi wanita terkenal itu pernah enam kali menjulang trofi Bintang Paling Popular dan lebih hebat, 13 kali berturut-turut bergelar Penyanyi Wanita Paling Popular dalam majlis itu.

Siti, 31, meraih gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tinggi iaitu Aizat, Faizal Tahir, Nabil dan Aznil Nawawi.

Dia memenangi hadiah utama kereta Nissan X-Trail berharga RM130,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, barang kemas bernilai RM150,000 tajaan Habib serta pakej penginapan bernilai RM18,000 tajaan Palace of the Golden Horses, perabot tajaan Empire Classic Furniture selain trofi.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang bergiat aktif dalam industri hiburan sejak 15 tahun lalu turut mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular.

Trofi Bintang Paling Popular 2009 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2009 di Arena of Stars di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid.

Majlis gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara bertemakan ‘Cetusan Warna’ yang berlangsung lebih dua setengah jam. Sumber Metro.

Carian kesini:

August 2, 2009

Waris Allahyarham Yasmin mahu saman editor, wartawan

ibu_yasminKeluarga Allahyarham Yasmin Ahmad bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarang dan wartawan sebuah akhbar tabloid terkenal berhubung penyiaran artikel kontroversi pada 27 Julai lalu mengenai keperibadian pengarah filem dan iklan berkenaan.

Ibunya, Inom Yon, berkata tindakan itu dibuat berikutan artikel berkenaan ditulis, disiarkan tanpa fakta tepat serta menggunakan sumber maklumat yang diragui hingga menjejaskan nama baik pengarah itu serta keluarganya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan itu boleh dielakkan jika pengarang dan wartawan akhbar tabloid (bukan terbitan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)) itu menemuinya sekeluarga selain membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Sampai hari ini pun mereka belum datang bertemu kami. Yang datang sebelum ini pun cuma pegawai atasannya dengan membawa bersama surat permohonan maaf daripada syarikat penerbitannya.

“Akhbar itu pun sudah memohon maaf pada muka depannya, Khamis lalu dan menjelaskan apa yang berlaku. Tetapi, bagaimana pula dengan pengarang dan wartawan terbabit? Mereka yang sepatutnya bertanggungjawab tetapi sampai sekarang pun belum datang sini,” katanya pada sidang media di rumahnya, pagi semalam.

Hadir sama bapa Yasmin, Ahmad Hashim dan adik bongsunya, Muzaffar Syah. Yasmin, 51, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 11.25 malam, 25 Julai lalu, dua hari selepas koma akibat serangan angin ahmar ketika bermesyuarat bersama pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, Bandar Utama.

Pada 27 Julai lalu, akhbar tabloid berkenaan menyiarkan artikel mendakwa mendedahkan identiti sebenar pengarah terkenal terkenal itu hingga mencetuskan kontroversi.

Inom berkata, isu itu tidak selesai selagi pengarang dan wartawan terbabit tidak menemui keluarganya bagi memberi penjelasan, selain memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan mereka dengan menggunakan semua saluran media di Malaysia.

“Ingin saya bertanya pada pengarang dan wartawan terbabit, apa nawaitu sebenar mereka menulis, seterusnya menyiarkan artikel berkenaan. Berapa pasti mereka setiap maklumat diperoleh itu tepat dan sahih. Mereka sedar ke tidak betapa besarnya impak artikel itu terhadap maruah Yasmin dan kami?

“Berani buat, berani bertanggungjawab. Mengapa mereka perlu takut bertemu saya, ayah Yasmin dan adik-beradiknya yang lain. Pengarang dan wartawan itu tahu ke apa yang sebenarnya berlaku… jangan pandai-pandai membuat andaian yang akhirnya mengelirukan orang ramai,” katanya.

Diminta mengulas lebih lanjut, beliau berkata, jantina anaknya tidak sepatutnya dijadikan isu kerana Allahyarham memang dilahirkan seorang wanita.

“Yasmin dilahirkan sebagai wanita, mengamalkan cara hidup wanita dan meninggal (dunia) sebagai wanita. Malah, semua dokumen mengenainya ada kami simpan, termasuk surat daripada Majlis Fatwa. Jadi, mengapa dan kenapa perkara ini dijadikan isu sensasi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan mahkamah itu akan mengundang pandangan negatif masyarakat, seolah-olah beliau sekeluarga mengharapkan ganjaran, Inom berkata, apa yang diutamakan adalah menjaga nama baik Yasmin.

Sumber Bharian.

Carian kesini: