December 7, 2009

Umpun-umpun umpan mujarab memancing air masin

Umpun-umpun atau perumpun menjadi pilihan pemancing air masin dan payau

Umpun-umpun atau perumpun menjadi pilihan pemancing air masin dan payau

Umpun-umpun(perumpun) atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita.

Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.

Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri.

Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.

Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir – ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau – ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah – udang galah serta ikan baung.

Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.

Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.

Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.

Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.

Sumber Joran-BH.

Carian kesini:

November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha

Selamat Hari Raya AidilAdha

Selamat Hari Raya AidilAdha

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.

Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut.

Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, “…Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:…”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar.”(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.

Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.

Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.

Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.

Jika pada Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri. Cuba perhatikan, banyak pergolakan di dunia yang berlaku kebanyakannya ditimbulkan oleh rasa tidak puas hati antara golongan yang lemah yang tidak mempunyai kecukupan dalam kehidupan serta menderita kelaparan, terhadap mereka yang hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Oleh kerana itu, umat Islam wajib untuk memikir dan memperhatikan nasib golongan ini, dan inilah di antara hikmah penyembelihan korban yang mulia.

Dengan demikian, ibadat penyembelihan korban di Aidil Adha bukan sahaja sebagai tanda shukur nikmat Allah SWT yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya terkandung rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama golongan umat Islam, juga mampu merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta.

Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata. Pada saat itu, mereka merasakan ikatan ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.

Sumber Ikim.

Carian kesini:

November 23, 2009

Marsha belum terdesak

Marsha Milan LondohENTAH mengapa, cerita sensasi tentang Marsha tidak pernah kesudahan sejak dia muncul di persada seni tanah air empat tahun lalu.

Pelbagai kisah yang mengheretnya ke kancah kontroversi sering kali menguliti dirinya sehingga ada yang berpendapat Marsha lebih selesa menjaja kisah sensasi daripada kerjayanya.

Sebaik sahaja kisah cinta bersama bekas teman lelakinya, Kefli terputus di pertengahan jalan, ramai yang beranggapan Marsha seolah-olah terdesak mencari cinta baru.

Masakan tidak, namanya sering kali dikaitkan dengan artis lelaki popular tanah air seperti Hans Isaac, Andy dari kumpulan Estranged dan terbaru Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU.

Benarkah Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh ini memang terdesak untuk mencari cinta bagi mengisi kekosongan hatinya itu?

Sebaik sahaja selesai sesi fotografi bersamanya di Studio Utusan baru-baru ini, soalan itu terus diajukan kepadanya.

Sambil menghela nafas panjang, dia menggeleng-geleng kepalanya sebagai tanda bahawa dia bukan wanita seperti itu.

Katanya, paparan di media tentang dirinya sebagai seorang wanita yang terdesak dan kemaruk cinta semuanya berpunca daripada salah faham.

Dia juga tidak menyangka gurauan pada mulanya akhirnya menjadi berita sensasi sehingga melabelkan dirinya sebagai seorang wanita yang tidak pandai menjaga harga diri.

Cerita Marsha, semuanya bermula sewaktu dia dan beberapa orang temannya duduk berkumpul di restoran.

Kebetulan pula, ketika itu juga ada seorang temannya membawa majalah hiburan dan mereka sama-sama membelek serta membaca majalah tersebut.

“Ketika itu, dalam majalah tersebut ada paparan tentang kisah Yusry dan secara spontan juga, saya memuji ketampanan serta menyatakan keinginan saya untuk bertemu dengannya dalam nada bergurau.

“Jujurnya, saya sendiri tidak pernah bertemu secara empat mata dengan Yusry. Saya sendiri tidak menyangka gurauan itu akhirnya bertukar menjadi satu perkara yang kontroversi.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya masih lagi ada maruah diri dan sama sekali bukan seorang wanita terdesak untuk mencari cinta,” kata Marsha penuh bersungguh mempertahankan prinsip dirinya.

Malah dengan penuh jujur Marsha menjelaskan dia sebenarnya sudah lelah dan penat dengan kisah palsu tentang dirinya yang sering dijaja.

Jelasnya, dia faham dengan senario dunia artis yang tidak dapat lari dari terkena tempias gosip.

“Saya tidak pernah melatah mahupun melenting tentang apa sahaja cerita yang tidak benar tentang diri saya kerana saya ada penjelasan tentangnya.

“Cuma, saya sesekali tidak akan berkompromi mahupun bertoleransi dengan cerita yang membabitkan keluarga saya. Itu memang satu kepantangan buat saya,” luah Marsha lembut dalam nada yang cukup tegas.

Satu yang pasti, Marsha tidak menafikan bahawa dia mahu menikmati alam percintaan seperti mana yang pernah ditempuhinya sebelum ini.

Baginya, dunia cinta adalah satu kenikmatan yang tidak terhingga dan sebagai seorang wanita, dia mahu memiliki keluarganya sendiri andai bertemu dengan seseorang yang layak dijadikan suaminya.

“Saya juga tidak menolak ketentuan takdir seandainya jodoh saya itu adalah lelaki Melayu,” katanya ringkas sambil tersenyum manja.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang gosip selepas ini, jelasnya, dia kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar yang harus difikirkannya.

Apatah lagi dengan kerjaya seninya yang mula kembali mengharum selepas menempuhi perjalanan seni selama lima tahun yang penuh liku.

Memang kini Marsha boleh tersenyum bangga dan puas apabila single terbarunya, Yang Terbaik mula menjadi perhatian ramai serta mendaki carta lagu-lagu popular.

Penerimaan meluas lagu itu bukan setakat di Malaysia sahaja bahkan ia juga sudah mula mencuri perhatian peminat muzik di Singapura dan Brunei.

Ternyata lagu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim itu telah membuka lembaran baru dalam hidup Marsha yang cukup dikenali menerusi lagu Untuk Terakhir Kali itu.

Lagu berentak pop progresif itu, kata Marsha, merupakan projek istimewa dan kolaborasi pertama di antara syarikatnya sendiri, Marsha Londoh Entertainment dan KRU Productions.

Apa yang membuatkan Marsha bangga dan puas hati dengan penghasilan lagu Yang Terbaik apabila Edry berjaya menterjemahkan idea dan konsep seperti mana yang dimahukan.

“Saya benar-benar bersyukur kerana lagu Yang Terbaik telah mempopularkan kembali nama saya dan sekali gus membuktikan bahawa kehadiran saya diterima dengan baik sekali.

“Mungkin tuah lagu ini kerana bunyinya yang segar dan berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Ini adalah permulaan yang baik buat saya untuk terus memperkasakan kedudukan saya di persada seni tanah air,” ujar Marsha yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat pada 6 Disember.

Tidak cukup dengan itu, muzik video Yang Terbaik juga mendapat pujian apabila ia menampilkan aspek videografi dan teknik pengarahan yang berbeza serta unik.

Melihatkan sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu Yang Terbaik, Marsha menjelaskan dia kini sedang merancang pembikinan album pertamanya yang bakal diterbitkan oleh sebuah syarikat rakaman baru.

“Album ini kelak akan menyuntik elemen baru dan segar yang akan menampilkan sisi saya yang berbeza tetapi konsepnya itu tidak akan berubah secara drastik.

“Saya masih akan mengekalkan imej saya seperti mana sebelum ini yang dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu balada,” katanya yang juga akan kembali mengikuti kelas piano yang sudah lama ditinggalkan. Marsha akan muncul dengan single keduanya pada bulan Februari depan.

Apa yang dimiliki Marsha hari ini katanya, merupakan berkat kesabaran dan ketabahannya meniti laluan berliku sepanjang bergelar anak seni.

Sepanjang tempoh itu juga, anak ketiga daripada empat beradik ini menjelaskan banyak pengalaman dan pelajaran yang diperolehinya dalam menjadikannya seorang wanita matang.

Dalam masa yang sama, Marsha juga mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit tempatan untuk berlakon di bawah produksi mereka baik untuk drama mahupun filem.

Antara drama yang menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon adalah Korban 44 dan drama online, Kerana Karina.

Bukan itu sahaja, Marsha juga kini sibuk untuk menghabiskan baki rakaman drama komedi, Berita Hangit terbitan Afdlin Shauki yang bakal ditayangkan di TV9 tahun depan.

Dia juga bakal membintangi sebuah drama bersiri muzikal terbitan KRU Studios bersama-sama Dafi, Bob, Anding dan Wangi dari kumpulan The Fabulous Cats yang bakal ditayangkan di TV3 juga pada tahun 2010.

Filem terbarunya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys yang ditayangkan sejak 19 November lalu juga mencuri perhatian peminat apabila buat pertama kalinya dia membawakan watak tomboy.

“Berlakon dalam filem ini memang menguji saya kerana sentiasa tidak kering gusi dengan keletah kumpulan Senario.

“Memang seronok berlakon bersama mereka dan Ahmad Idham sebagai pengarah pula banyak membantu untuk mewarnakan lagi watak Zuraidah yang saya bawakan ini.

“Menerusi filem ini, saya banyak belajar untuk menjadi lebih spontan tanpa terlalu mengikut skrip,” ujarnya yang pernah membintangi filem Saus Kacang bersama Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair selain menanti tayangan dua buah filem lagi iaitu Empat Madu dan Magika.

Source Utusan.

Carian kesini:

October 19, 2009

Hikmah Perlaksanaan Hukum Hudud Menurut al Quran dan Sains

HIKMAH PERLAKSANAAN HUDUD

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian.Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan dikalangan orang-orang yang beriman” (An-Nur:2, al Quranul Karim)

PANDANGAN ULAMA TAFSIR

Hukuman keatas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan yang masih bujang atau dara yang masih belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Hikmah memulakan hukuman keatas perempuan dalam kes zina dan memulakan hukuman keatas lelaki ketika kes mencuri adalah kerana kes zina selalunya terjadi disebabkan oleh golongan perempuan yang boleh mengaibkanya lebih daripada lelaki dan lebih memberi kesan keatasnya, manakala dalam kes mencuri pula selalunya berlaku keatas orang lelaki kerana mereka lebih berani dan lebih merbahaya daripada orang perempuan dalam melakukan perkara itu maka didahulukan orang lelaki daripada orang perempuan.hudud

Pada zahir ayat ini menerangkan akan ketetapan hukuman keatas penzina â€penzina iaitu 100 sebatan rotan tetapi telah ditetapkan di dalam Sunnah yang Qat’ie dan penzina yang belum berkahwin dan yang telah berkahwin. Adapun hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati mengikut Sunnah secara lisan dan perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud Bahawasanya Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam telah bersabda:

“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali belarkunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengajacdan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam”

Janganlah kamu berlembut dan berasa belas kasihan ketika hendak melakukan hukuman keatas penzina kerana ini adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah juga tidak boleh merosakkan hudud Allah yang telah ditetapkan dan sebagaimana  sabda Nabi Muhammad  SAW daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah radhiAllahu anha:

“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bt Muhammad mencuri Sesungguhnya aku akan potong tanganya”

Maka dirikanlah hudud keatas orang-orang yang melakukan perbuatan zina dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang menyakitkan untuk memberikan pengajaran keatas mereka jika kamu beriman dengan Allah SWT dan hari Akhirat.

Dan dirikanlah hudud secara terang-terangan dihadapan sekumpulan daripada orang-orang Islam tambahan balasan bagi orang yang berzina.Sesungguhnya penzina-penzina itu apabila disebat di hadapan orang ramai akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah mereka daripada melakukan  perbuatan itu lagi. Telah berkata Qatadah:

“Allah S.W.T telah memerintahkan sekumpulan daripada oraang-orang yang beriman untuk melakukan penyaksian ketika hukuman itu dijalankan adalah kerana untuk memberi peringatan, nasihat dan pengajaran”.

Kes-Kes zina ini disabitkan dengan salah satu daripada  perkara berikut :

1- Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.

2- Mempunyai hubungan dengan perempuan yang tidak mempunyai suami yang boleh dikenali baginya.

PERBAHASAN

Apabila Allah menjadikan manusia Allah juga menjadikan bersama kejadian manusia itu undang-undang yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.Terdapat 17 jenis kesalahan yang dihukumkan dengan hukum hudud antaranya hukum bagi mereka yang melakukan penzinaan.Apabila sabit dua kesalahan terdapat dua jenis hukuman bagi dua kategori manusia yang melakukan kesalahan itu ;
1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin
2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

Kenapakah terdapat perbezaan di dalam hukuman yang di jalankan bagi kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh jenis manusia yang berbeza?
Sepintas lalu, Ulama’ menggariskan bahawa menghukum mereka yang belum berkahwin jika disabitkan kesalahan dengan 100 rotan adalah wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang melakukanya ataupun remaja yang berkeinginan mencubanya. Hukuman sebat ditentukan bagi penzina jenis adalah kerana mereka belum pernah merasa nikmat perkahwinan.Keinginan mereka adalah disebabkan dorongan nafsu yang kadangkala dapat mengatasi fikiran manusia sehingga menjerumuskanya melakukan kesalahan zina.

Rejam sampai mati pula adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina yang sudah berkahwin kerana penzina jenis ini sudah merasai nikmat perkahwinan dan tidak ada alasan yang boleh diterima sebagai kemaafan kerana dikhuatiri tabiat mereka itu akan merosakkan banyak manusia. Rejam sampai mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia jenis ini.

HIKMAH DISEBALIK PERLAKSANAAN HUDUD

Buat penzina yang belum berkahwin.mereka mempunyai antibody T4 Limfosit yang kuat dan masih bertenaga. Jika sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaanya,T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV Aids yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfositnya musnah sehingga menyebabkan mati dan akhirnya sel sum-sum tulangnya mengalami kelumpuhan dan fibrosis dan tidak lagi dapat lagi menghasilkan sel-sel T4 yang baru. Badan akan lemah dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit akan menyerang.

Pesakit jenis ini juga mempunyai kemungkinan untuk disembuhkan. Tetapi dengan syarat ia mesti didera dan badannya mesti mengalami kesakitan yang banyak bagi meransang penghasilanan sel-sel T4 yang baru serta mengelakkan sum-sum tulang daripada fibrosis.Cara terbaik adalah dengan menyebat diantara bawah tengkuk dan di atas pinggang di bahagian belakang dengan sebatan yang akan meransang penghasilan semula antibodi T4 yang baru dan pesakit tersebut boleh sembuh daripada AIDS selepas antibodi sel-sel T4 Limfositnya itu boleh menguasai HIV AIDS.

Jika sekiranya pesakit tersebut sudah berkahwin .apabila dihinggapi virus AIDS,sel-sel T4 mereka telah lemah berbanding dengan sel-sel T4 kepunyaan mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang mengalami sedikit hakisan dan kurang menghasilkan antibodi kerana lebih banyak ditumpukan kearah menghasilakan benih-benih bagi tujuan menghasilkan sperma-sperma baru. Penzina jenis ini tidak akan dapat diselamatkan daripada virus HIV AIDS dan rejam sehingga mati adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit di samping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang lain takut untuk melakukan kesalahan yang sama.

IMUNITI DAN HIKMAH PELAKSANAAN HUDUD

Sistem imuniti badan manusia adalah menepati sistem pentadbiran dan pertahanan sesebuah negara Islam.Di dalam badan manusia terdapat berjuta-juta sel yang terdiri kebanyakanya daripada protein. Begitu juga keadaanya antibodi yang terdiri 100% daripada protein. Salah satu keistimewaan bagi haiwan vertebrata ialah keupayaan antibodinya mengenali kandungan asal badan (yang di panggil sel asal)dan benda-benda yang datang dari luar. Tindakbalas imuniti adalah merangkumi kesemua aktiviti yang pada akhirnya menghasilkan penghapusan bahan-bahan luar (foreign materials) samaada melalui proses kecederaan atau tidak .Tindakbalas imun adalah merangkumi dua fenomena yang asas:
1.Tindakbalas humoral (tindakan antibody)
2.Tindakbalas pembaikan sel

Toleran (ketiadaan tindakbalas imun) adalah juga salah satu daripada mekanisme tindakbalas imun yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan yang memelihara tindakbalas imun terhadap sel sendiri. Dalam banyak hal, mekanisme pertahanan badan (tindak balas imun) adalah seolahâ€olah sebuah sistem pengawalan (undang-undang hudud) yang di wujudkan bagi tujuan pengawalan.Sistem ini akan dapat mengenali antara orang asing dan penduduk tetap sebuah negeri. Orang asing yang di anggap mengancam keselamatan akan dihapuskan dengan di hukum dan penduduk asal negeri tersebut yang baik akan di tolerankan. Maka yang menyeleweng di kalangan penduduk asal negeri itu juga turut dihapuskan bagi tujuan keselamatan dan sistem sosial yang teratur itu.

Masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang hudud yang telah di tentukan oleh Allah itu adalah seolah-olah masyarakat yang sedang dilanda AIDS dimana kesemua unsur asing budaya dan kehidupan yang boleh membahayakan manusia dan boleh memusnahkan kehidupan manusia dibolehkan masuk seluas-luasnya tanpa sebarang pengawasan.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang segala-gala keperluan biologis, psikologi dan mental manusia. Adalah menjadi satu perkara yang boleh merosakan manusia apabila manusia cuba menentukan haluan mereka sendiri yang mereka sendiri tidak faham dan tidak tahu. Sedangkan Allah ,Tuhan yang menjadikan dan menciptakan yang paling arif dan tahu tentang keperluan-keperluan manusia serta sistem pengawalanan yang dapat  mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah perhambaan nafsu yang boleh memusnahkan manusia itu sendiri.

HIKMAH MANDI WAJIB

Adalah banyak diketahui oleh pakar sains bahawa di bawah kulit manusia terdapat banyak mikroorganisma yang hidup komensal. Mikroorganisma ini akan keluar dan berada di hujung rambut dan bulu roma setiap kali manusia berpeluh atau selepas melakukan hubungan kelamin dengan isteri @ suami. Sudah tentulah badan akan menjadi kotor dan organisma ini akan mudah berjangkit kepada orang lain apabila ia keluar dan berurusan tanpa mandi junub.

Bakteria ini jika sekiranya mempunyai peluang untuk menguasai badan kita ketika daya tahan badan manusia menjadi lemah akan mengambil kesempatan dan akan menjadi parasit dan boleh menyebabkan jangkitan di tubuh badan kita. Itulah sebabnya Islam menetapkan mandi junub sebagai cara pembersihan diri dan tubuh badan daripada tercemar daripada bakteria tadi. Keluar berjual-beli, makan, minum, berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain dalam keadaan berjunub adalah makruh.Allah Yang Maha Mengetahui tentang makhluk yang diciptakannya ini telah menetapkan bahawa manusia mesti mandi wajib selepas setiap kali datang haid nifas dan bersetubuh.

Ia adalah bagi tujuan pembersihan dan penyucian diri.Apabila bakteria tadi terkena atau dikenakan padanya air yang dapat menghilangkanya dari badan ,ia akan mati dan tidak dapat menjangkiti orang lain. Maka terselamatlah manusia daripada jangkitan dan wabak penyakit sekaligus dan meneruskan hidup dalam keadaan bersih dan sihat.

TAYAMMUM PENGGANTI MANDI JUNUB

Kenapakah tayammum dapat menggantikan mandi junub dan wudu’( dua jenis penyucian diri dalam Islam ) dalam keadaan air di tempat yang kering-kontang? Bakteria apabila terkena air akan mati disebabkan tekanan osmosis di dalam badannya sehingga air boleh menyerap masuk ke dalam badan dan akhirnya ia mati kerana mengalami overhydration. Begitu juga halnya apabila bakteria tadi didedahkan kepada keadaan yang terlalu kering dan kontang seperti apabila dikenakan padanya debu..Ia akan mati setelah air badannya keluar kerana tekanan osmosis lebih rendah daripada tekanan osmosis di luar badan menyebabkanya mati kerana air badan keluar dan kerana kekontangan fisiologi badan. – MANHAL

Oleh: Dr. Jamnul Azhar Hj. Mulkan.

Carian kesini: