Pelbagai kisah yang mengheretnya ke kancah kontroversi sering kali menguliti dirinya sehingga ada yang berpendapat Marsha lebih selesa menjaja kisah sensasi daripada kerjayanya.
Sebaik sahaja kisah cinta bersama bekas teman lelakinya, Kefli terputus di pertengahan jalan, ramai yang beranggapan Marsha seolah-olah terdesak mencari cinta baru.
Masakan tidak, namanya sering kali dikaitkan dengan artis lelaki popular tanah air seperti Hans Isaac, Andy dari kumpulan Estranged dan terbaru Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU.
Benarkah Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh ini memang terdesak untuk mencari cinta bagi mengisi kekosongan hatinya itu?
Sebaik sahaja selesai sesi fotografi bersamanya di Studio Utusan baru-baru ini, soalan itu terus diajukan kepadanya.
Sambil menghela nafas panjang, dia menggeleng-geleng kepalanya sebagai tanda bahawa dia bukan wanita seperti itu.
Katanya, paparan di media tentang dirinya sebagai seorang wanita yang terdesak dan kemaruk cinta semuanya berpunca daripada salah faham.
Dia juga tidak menyangka gurauan pada mulanya akhirnya menjadi berita sensasi sehingga melabelkan dirinya sebagai seorang wanita yang tidak pandai menjaga harga diri.
Cerita Marsha, semuanya bermula sewaktu dia dan beberapa orang temannya duduk berkumpul di restoran.
Kebetulan pula, ketika itu juga ada seorang temannya membawa majalah hiburan dan mereka sama-sama membelek serta membaca majalah tersebut.
“Ketika itu, dalam majalah tersebut ada paparan tentang kisah Yusry dan secara spontan juga, saya memuji ketampanan serta menyatakan keinginan saya untuk bertemu dengannya dalam nada bergurau.
“Jujurnya, saya sendiri tidak pernah bertemu secara empat mata dengan Yusry. Saya sendiri tidak menyangka gurauan itu akhirnya bertukar menjadi satu perkara yang kontroversi.
“Ingin saya tegaskan di sini, saya masih lagi ada maruah diri dan sama sekali bukan seorang wanita terdesak untuk mencari cinta,” kata Marsha penuh bersungguh mempertahankan prinsip dirinya.
Malah dengan penuh jujur Marsha menjelaskan dia sebenarnya sudah lelah dan penat dengan kisah palsu tentang dirinya yang sering dijaja.
Jelasnya, dia faham dengan senario dunia artis yang tidak dapat lari dari terkena tempias gosip.
“Saya tidak pernah melatah mahupun melenting tentang apa sahaja cerita yang tidak benar tentang diri saya kerana saya ada penjelasan tentangnya.
“Cuma, saya sesekali tidak akan berkompromi mahupun bertoleransi dengan cerita yang membabitkan keluarga saya. Itu memang satu kepantangan buat saya,” luah Marsha lembut dalam nada yang cukup tegas.
Satu yang pasti, Marsha tidak menafikan bahawa dia mahu menikmati alam percintaan seperti mana yang pernah ditempuhinya sebelum ini.
Baginya, dunia cinta adalah satu kenikmatan yang tidak terhingga dan sebagai seorang wanita, dia mahu memiliki keluarganya sendiri andai bertemu dengan seseorang yang layak dijadikan suaminya.
“Saya juga tidak menolak ketentuan takdir seandainya jodoh saya itu adalah lelaki Melayu,” katanya ringkas sambil tersenyum manja.
Tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang gosip selepas ini, jelasnya, dia kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar yang harus difikirkannya.
Apatah lagi dengan kerjaya seninya yang mula kembali mengharum selepas menempuhi perjalanan seni selama lima tahun yang penuh liku.
Memang kini Marsha boleh tersenyum bangga dan puas apabila single terbarunya, Yang Terbaik mula menjadi perhatian ramai serta mendaki carta lagu-lagu popular.
Penerimaan meluas lagu itu bukan setakat di Malaysia sahaja bahkan ia juga sudah mula mencuri perhatian peminat muzik di Singapura dan Brunei.
Ternyata lagu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim itu telah membuka lembaran baru dalam hidup Marsha yang cukup dikenali menerusi lagu Untuk Terakhir Kali itu.
Lagu berentak pop progresif itu, kata Marsha, merupakan projek istimewa dan kolaborasi pertama di antara syarikatnya sendiri, Marsha Londoh Entertainment dan KRU Productions.
Apa yang membuatkan Marsha bangga dan puas hati dengan penghasilan lagu Yang Terbaik apabila Edry berjaya menterjemahkan idea dan konsep seperti mana yang dimahukan.
“Saya benar-benar bersyukur kerana lagu Yang Terbaik telah mempopularkan kembali nama saya dan sekali gus membuktikan bahawa kehadiran saya diterima dengan baik sekali.
“Mungkin tuah lagu ini kerana bunyinya yang segar dan berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sebelum ini.
“Ini adalah permulaan yang baik buat saya untuk terus memperkasakan kedudukan saya di persada seni tanah air,” ujar Marsha yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat pada 6 Disember.
Tidak cukup dengan itu, muzik video Yang Terbaik juga mendapat pujian apabila ia menampilkan aspek videografi dan teknik pengarahan yang berbeza serta unik.
Melihatkan sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu Yang Terbaik, Marsha menjelaskan dia kini sedang merancang pembikinan album pertamanya yang bakal diterbitkan oleh sebuah syarikat rakaman baru.
“Album ini kelak akan menyuntik elemen baru dan segar yang akan menampilkan sisi saya yang berbeza tetapi konsepnya itu tidak akan berubah secara drastik.
“Saya masih akan mengekalkan imej saya seperti mana sebelum ini yang dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu balada,” katanya yang juga akan kembali mengikuti kelas piano yang sudah lama ditinggalkan. Marsha akan muncul dengan single keduanya pada bulan Februari depan.
Apa yang dimiliki Marsha hari ini katanya, merupakan berkat kesabaran dan ketabahannya meniti laluan berliku sepanjang bergelar anak seni.
Sepanjang tempoh itu juga, anak ketiga daripada empat beradik ini menjelaskan banyak pengalaman dan pelajaran yang diperolehinya dalam menjadikannya seorang wanita matang.
Dalam masa yang sama, Marsha juga mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit tempatan untuk berlakon di bawah produksi mereka baik untuk drama mahupun filem.
Antara drama yang menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon adalah Korban 44 dan drama online, Kerana Karina.
Bukan itu sahaja, Marsha juga kini sibuk untuk menghabiskan baki rakaman drama komedi, Berita Hangit terbitan Afdlin Shauki yang bakal ditayangkan di TV9 tahun depan.
Dia juga bakal membintangi sebuah drama bersiri muzikal terbitan KRU Studios bersama-sama Dafi, Bob, Anding dan Wangi dari kumpulan The Fabulous Cats yang bakal ditayangkan di TV3 juga pada tahun 2010.
Filem terbarunya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys yang ditayangkan sejak 19 November lalu juga mencuri perhatian peminat apabila buat pertama kalinya dia membawakan watak tomboy.
“Berlakon dalam filem ini memang menguji saya kerana sentiasa tidak kering gusi dengan keletah kumpulan Senario.
“Memang seronok berlakon bersama mereka dan Ahmad Idham sebagai pengarah pula banyak membantu untuk mewarnakan lagi watak Zuraidah yang saya bawakan ini.
“Menerusi filem ini, saya banyak belajar untuk menjadi lebih spontan tanpa terlalu mengikut skrip,” ujarnya yang pernah membintangi filem Saus Kacang bersama Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair selain menanti tayangan dua buah filem lagi iaitu Empat Madu dan Magika.
Source Utusan.