Chua Jui MengBekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mendakwa ramai pemimpin Umno yang terlibat jika didedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Umno, dakwanya lagi, tidak puas hati dengan dengan cara Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat mendedahkan skandal tersebut.

Bekas Menteri Kesihatan itu juga membayangkan apa yang dihadapi oleh Ong kini sebagai konspirasi Umno untuk menjatuhkannya.

Dakwaan Chua itu tampil selepas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam “payroll” Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.

KDSB ialah pemaju PKFZ.

Sejak Ong bergelut dengan pendedahan Tiong yang mendakwa memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA itu, tidak ada pemimpin Umno yang kelihatan bersimpati kepadanya.

“Pernahkah anda melihat Perdana Menteri tampil mempertahankan Ong? Pernahkah anda dengar Timbalan Perdana Menteri mempertahankan Ong berkaitan skandal PKFZ?

“Atau di mana para pemimpin Umno lain untuk mempertahankan Ong mengenai isu itu? Tidak ada”.

Perkara sedemikian, katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dahulu, wujud keakraban yang kukuh di mana para pemimpin BN akan mempertahankan satu sama lain tetapi perkara sedemikian tidak berlaku.

“Presiden parti komponen yang kedua terbesar dalam BN diserang dan tidak ada sesiapa pun dari Umno yang tampil mempertahankannya,” kata Chua ketika bercakap kepada para pemberita selepas majlis makan malam yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang di Bukit Mertajam Ahad lalu.

Menurut beliau lagi, apa yang berlaku itu, ditambah pula khabar angin yang tersebar luas di dalam BN yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek memimpin parti itu, telah melemahkan kedudukan Ong.

“Kesemua ini menunjukkan dakwaan Ong bahawa beliau diserang dari dalam dan luar adalah benar,” kata Chua.

Semalam, Ong hari ini menfailkan saman dengan tuntutan RM500 juta terhadap Tiong, tetapi apa yang popular sebagai kehendak hatinya yang mahu dilihat bersih dan telus telah banyak tercemar.

12 Ogos lalu, Tiong mendakwa beliau memberikan RM10 juta kepada Ong.

Sumber Harakah.

2 thoughts on “Ramai pemimpin Umno terlibat jika skandal PKFZ didedah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.