Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.  Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd
Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-Pas-PKR selepas berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin,
Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Penghakiman dibaca oleh Hakim Arifin.

Pertikaian mengenai siapa antara Zambry dan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah timbul tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam dewan apabila dua anggota daripada PKR dan seorang daripada DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN dan seorang lagi daripada PKR yang menyertai parti itu daripada Umno, bertindak kembali kepada Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian menitahkan agar Mohammad Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar, dan pada Februari melantik Zambary sebagai Menteri Besar
selepas berpuas hati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan.

Mohammad Nizar, 52, yang enggan meletak jawatan, mengambil tindakan undang-undang pada 13 Februari dengan memohon agar mahkamah mengisytiharkan beliau adalah Menteri Besar yang sah, dan pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengembalikan jawatan itu kepada Mohammad Nizar kerana mendapati bahawa BN tidak mengadakan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar dalam Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, ekoran rayuan Zambry, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pelantikan beliau sebagai Menteri Besar dibuat mengikut Perlembagaan.-Bernama

4 thoughts on “Nizar VS Zamry”
  1. masing2 gila kuasa…
    buat pilihanraya pn masih tak puas hati…
    .-= ery´s last blog ..Perempuan Sekarang Tak Boleh Dipecayai =-.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.