Ahli parliman Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Mohsin (foto), 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.

Dua yang lain itu ialah MP Bayan Baru, Zahrain Hashim dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng.

Pada sidang media, pagi ini di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka.
Turut keluar PKR ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.

Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.

Berikutan ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang.

Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23.

Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.
Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin (kiri, berketayap) berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.

Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Salehudin (kiri) pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut.

Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan.

Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.

Sumber Malaysiakini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.