Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s hilang hak eksklusifnya selepas gagal menghalang sebuah restoran makanan India tempatan, McCurry Restaurant (KL) Sdn Bhd menggunakan awalan ‘Mc’ untuk papan tanda perniagaannya.

mcdonalds

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mahkamah Persekutuan hari ini turut memerintahkan McDonald’s membayar kos RM10,000 kepada McCurry yang mempunyai outlet di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

“Kami berpendapat persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh McDonald’s tidak jelas dan mahkamah harus menolak permohonan semakan bagi rayuan itu,” kata Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk James Foong.

Mahkamah menangguhkan kes itu semalam selepas mendapati soalan yang dibangkitkan peguam McDonald’s tidak jelas dan meminta mereka menyusun semula soalan berdasarkan kepada pendapat Mahkamah Rayuan.

McDonald’s memfailkan permohonan semakan bagi rayuan itu apabila pada 29 April lalu Mahkamah Rayuan memutuskan adalah satu kesilapan untuk membuat andaian McDonald’s memonopoli penggunaan awalan ‘Mc’.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan McDonald’s mempunyai hak eksklusif kepada awalan ‘Mc’ menyebabkan McCurry membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding kes itu, McCurry menegaskan bahawa McDonald’s tidak boleh menuntut monopoli atau hak eksklusif bagi menggunakan huruf awalan ‘Mc’, kerana awalan itu digunakan dengan meluas di seluruh dunia sebagai nama keluarga terutamanya oleh orang yang berasal dari Scotland.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.