Manohara Odelia Pinot belum memfailkan apa-apa pembelaan terhadap saman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry Ismail Petra yang menuntutnya kembali taat setia kepada suaminya dan tuntutan bayaran hutang berjumlah RM1,112,250 dari model Indonesia itu.manohara

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu telah memberi masa 14 hari kepada Manohara untuk menjawab saman tersebut, dan tempoh itu telah berakhir pada 21 September lalu.

Peguam yang mewakili Tengku Fakhry hari ini berkata pihaknya akan membantah kelewatan pemfailan dan penyerahan tersebut yang dilakukan tanpa alasan yang wajar dan munasabah.

“Ini menunjukkan defendan tidak serius dengan kes ini,” kata Zainul Rijal Abu Bakar kepada Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Zainul Rijal berkata sehingga hari ini pihaknya belum menerima pembelaan bagi tuntutan tersebut walaupun Manohara diarahkan oleh mahkamah supaya difailkan dan disampaikan kepada pihaknya.

“Kami juga tidak menerima sebarang permohonan memohon lanjutan masa dari peguam syarie defendan bagai memanjangkan tempoh pemfailan dan penyerahan pembelaan-pembelaan berkenaan.

Zainul Rijal berkata, beliau telah meminta penjelasan dari peguam syarie defendan tersebut di firma Faiz Adnan & Associates, tetapi belum menerima apa-apa jawapan.

Pada 4 Julai lalu, Tengku Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, iaitu menuntut agar isterinya itu yang telah kembali ke Indonesia pada 31 Mei lalu supaya kembali taat dan menyerahkan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM1,112,250.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya.

Pada 9 September lalu, firma guaman Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates yang dilantik Manohara dan ibunya Daisy Fajarina dalam kes saman fitnah RM105 juta yang dikemukakan Tengku Fakhry, telah menarik diri daripada menjadi peguamcara kepada mereka berdua.

Dalam kes sivil itu juga, Manohara dan Daisy masih tidak menfailkan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan Tengku Fakhry, walaupun tempoh untuk berbuat demikian telah tamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.