Keputusan kes seorang penarik kereta yang didakwa membunuh seorang lelaki Bajau yang sepatutnya didengar hari ini terpaksa ditangguhkan pada hari lain berikutan komputer setiausaha seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini diserang virus.

Sebelum ini, keputusan kes membabitkan tertuduh, Irwan Amat, 32, yang juga anggota Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) turut ditangguhkan sebanyak dua kali.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad memaklumkan mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan sekali lagi kerana data yang tersimpan di dalam komputer setiausahanya diserang virus.

Justeru, sambil memohon maaf, beliau menetapkan 30 Mac ini untuk membuat keputusan.

Tertuduh, dari suku Suluk, Sabah, didakwa membunuh Jibal Salim, 34, seorang buruh, di tempat letak kereta Blok Cempaka, Country Homes, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 9.45 malam pada 16 Okt 2003. Jika sabit kesalahan, Irwan yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.