KD Sri Inderapura

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kehilangan kapal yang banyak berjasa kepada negara apabila kapal pendaratan KD Sri Inderapura, terbakar di sini awal pagi semalam.

Difahamkan, kapal itu sedang membuat persiapan penghantaran logistik ke Markas Wilayah Laut 2, di Kota Kinabalu dan dijadualkan akan belayar Isnin ini.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 6.30 pagi dan ini kali kedua kapal itu terbabit dalam kebakaran selepas kejadian pertama pada 2002.

Ketika kejadian, 77 anggota termasuk enam pegawai dan 22 pelatih sedang bertugas dan usaha memadam dijalankan sejurus menyedari kebakaran.

Dua pasukan Bomba dan Penyelamat TLDM dihantar ke tempat kejadian sebelum tiga lagi pasukan Bomba dan Penyelamat, iaitu masing-masing dua dari Seri Manjung dan satu dari Sitiawan membantu. Selain itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam turut membantu.

Tinjauan Berita Harian jam 2 petang semalam mendapati api berjaya dikawal dan kerja memadamkan diteruskan, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian kerana ia kawasan keselamatan negara.

Kapal yang berusia hampir 40 tahun itu dibina pada 1970 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dengan kekuatan 324 anggota.

DI PORT DICKSON, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan kebakaran tiada unsur sabotaj dan tiada kena mengena dengan ancaman kumpulan Benteng Demokratik Rakyat (Bendera) Indonesia yang dikatakan mahu menyerang Malaysia.

“Siasatan awal mendapati punca kebakaran akibat litar pintas. Bagaimanapun, lembaga siasatan yang diketuai pegawai berpangkat kapten atau kolonel sudah ditubuhkan,” katanya.

Beliau sudah memaklumkan kejadian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diminta mencari alternatif untuk menggantikan kapal itu.

“Kapal ini sudah musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kapal seperti ini sukar diperoleh di pasaran. Jika ada keperluan, kerajaan akan membeli kapal baru menggantikan KD Seri Inderapura.

“Buat sementara, kita akan mendapatkan kapal sedia ada untuk menghantar logistik ke Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan Bendera Indonesia, Ahmad Zahid mengakui ia memang wujud di negara berkenaan, tetapi bukan provokasi ketenteraan.

“Saya sudah meminta Panglima 3 Divisyen di Sarawak memantau pergerakan mereka. Polis dan imigresen turut mengambil langkah sama,” katanya.

Sumber bharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.