“Semoga Allah sentiasa bersamamu, Michael,” kata Jemaine Jackson ketika mengumumkan kematian adiknya.

Kenyataan Jermaine itu menggamit jutaan ulasan daripada umat Islam yang mengharapkan wujudnya hubungan antara ikon pop itu dengan Islam.

Kematian Michael Jackson pada usia 50 tahun menjadi satu acara global hingga memperlahankan Internet dan dalam beberapa kes, menyebabkan laman web tergendala.

jackson

Sejumlah besar masyarakat Islam dari seluruh dunia turut menyerbu laman net Islam yang berpusat di Barat dengan harapan pertama, untuk memastikan sama ada laporan mengenai Michael memeluk Islam itu benar dan sama ada mayatnya akan dimandi dan disembahyangkan seperti yang dilakukan ke atas setiap orang Islam yang meninggal dunia dan kedua, untuk mengucapkan takziah dan meluah rasa sedih dengan cara masing-masing.

Persoalan mengenai hubungan Michael dengan Islam berada dalam pemikiran kebanyakan orang Islam dan sebahagian besar mereka memang berharap dan yakin dia benar-benar memeluk Islam.

Jika benar, memang patut umat Islam berdoa agar roh Michael dicucuri rahmat Allah swt.

Terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan Michael Jackson memang memeluk Islam.

Abangnya Jermaine memeluk Islam sejak lebih 20 tahun lalu dan bercakap secara terbuka mengenainya. Pada 2005, Michael menetap hampir setahun di Bahrain, negara Islam. Pada November 2008. beberapa agensi berita melaporkan penyanyi itu memeluk Islam dalam satu upacara ringkas di Los Angeles.

Bagi kebanyakan masyarakat Islam, keputusan Michael menetap di Baharain dan muncul dengan berpakaian burqa mengesahkan dia memeluk agama itu.

Tetapi, ada juga tanda menunjukkan laporan keislaman Michael itu tidak benar.

Peguam Michael di New York, Londell McMillan, ketika mengulas laporan akhbar pada November tahun lalu, menafikannya.

“Mengarut. Ia langsung tidak benar,” kata McMillan kepada wartawan.

Tetapi, beberapa tokoh Islam masih berkeras mempertahankan keislaman penyanyi itu, termasuk seorang imam Amerika Syarikat, Imam Zaid Shakir yang menulis beberapa hari selepas kematian Michael: “Seorang rakan baik yang boleh dipercayai menelefon dan berkata, Michael sudah memeluk Islam. Ketika itu, dia cuba menghasilkan album bersama seorang pemuzik terkenal Islam, Dawud Wharnsby dan seorang lagi penghibur Islam. Menyedari Michael berdepan dengan masalah dan tertekan, kedua-duanya mengajak Michael memeluk Islam. Dia menerima pelawaan itu dan memeluk Islam pada 21 November 2008. Michael bukan asing dengan agama itu kerana sudah didedahkan oleh abangnya, Jermaine yang memeluk Islam pada 1989.”

Malangnya, ‘sumber yang boleh dipercayai’ Zaid Shakir mengenai cerita itu adalah tidak benar. Dalam blognya, Dawud mendedahkan, dia tidak pernah menemui Michael Jackson.

“Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan hubungan peribadi saya dengan Michael Jackson. Pada 21 November 2008, akhbar the Sun (UK) melaporkan, Michael memeluk Islam menerusi persahabatan dengan saya dan rakan saya, Idris Phillips ketika satu sesi rakaman di Los Angeles. Untuk pengetahuan umum: Walaupun, terbabit dalam bidang yang sama, namun saya tidak pernah mendapat penghormatan untuk menemui Michael secara peribadi, atau berhubung dengannya mengenai profesyen, kehidupan peribadi atau agama,” kata Dawud ketika mengulas kematian Michael dalam blognya.

Terdapat juga laporan yang mendakwa seorang pemuzik Islam yang hadir pada majlis itu ialah Yusuf Islam atau Cat Stevens. Yusuf Islam juga menafikan mengetahui mengenai keislaman Michael.

“Bertentangan dengan khabar angin yang disebar akhbar, saya tidak pernah terbabit dalam sebarang majlis pengislaman Michael. Saya juga percaya Dawud Wharnsby dan beberapa nama, termasuk Idris Phillips, yang disebut dalam laporan itu, juga tidak terlibat.

“Saya berada di Los Angeles ketika khabar angin itu tersebar – tetapi saya sibuk dengan rakaman video untuk lagu baru, Boots and Sand.

“Saya pernah menemui Jermaine Jackson, abang Michael yang memeluk Islam beberapa tahun lalu. Bagi Michael, saya berharap dia mendapat ketenteraman dan kembali membuat muzik yang boleh memberi inspirasi kepada generasi,” kata Yusuf tidak lama dulu.

Dalam erti kata lain, keghairahan masyarakat Islam, interaksi Michael dengan keluarga diraja Arab dan kewartawanan yang buruk mungkin menyumbang kepada laporan mengenai keislaman Michael.

Sementara kenyataan Jemaine pada sidang akhbar (Semoga Allah sentiasa bersama kamu, Michael), tidak ada kena mengena dengan keislaman penyanyi itu kerana ia mungkin ucapan spiritual peribadi Jermaine dan caranya tersendiri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada adiknya.

Hanya Allah saja maha mengetahui isi hati hambanya dan Dia juga yang berhak mengadilinya.

Sumber hmetro.

2 thoughts on “Islamkah Michael Jackson?”
  1. assalamualaikum……………

    islam atau tidak itu urusan tuhan……….jgnlah kita mempertikaikannya,marilah kita bersama2
    berdoa ke hadrat ilahi semoga beliu d cucuri rahmat tuhan……..amin.

    1. Waalaikumsalam Najwa. Betul tu. Biarkan sahaja kerana beliau sudahpun meninggal dunia dan bukan lagi urusan manusia untuk menentukan sejauh mana keimanan beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.