Kapten pasukan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei meminta penonton yang hadir ke Stadium Putra bagi menyaksikan kejohanan badminton Piala Thomas supaya bersikap lebih `sporting’ dan tidak mengejek pemain Malaysia yang tewas.

Beliau yang menghargai kedatangan penonton ke Stadium Putra bagi memberi sokongan kepada skuad negara, berkata semua pemain negara yang turun bermain dalam kejohanan sama ada Piala Thomas atau Uber, mahukan kemenangan.

“Tiada sesiapa yang mahu kalah. Tapi banyak faktor yang mempengaruhi kemenangan dan kekalahan pemain. Penonton diharap lebih `sporting’ dan tidak mengejek pemain Malaysia.

“Pemain akan berasa tertekan bila diejek penonton di gelanggang sendiri dan ini tidak baik bagi semangat pasukan,” katanya kepada pemberita hari Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan hampir 1,000 penonton di Stadium Putra yang mengejek pasangan beregu negara, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif yang mempamerkan permainan hambar dan tewas mudah kepada gandingan Jepun, Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto.

Beregu Malaysia itu tewas mudah 15-21, 12-21 dalam tempoh 27 minit.

Chong Wei juga menasihati rakan sepasukannya, Mohd Fairuzizuan/Mohd Zakry supaya melupakan insiden malam ini dan memberi fokus kepada perlawanan berikutnya di peringkat suku akhir.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.