Samoa_tsunamiKejadian tsunami melanda negara kepulauan Pasifik American Samoa dan Samoa Barat, hari ini dan memusnahkan perkampungan serta meragut banyak korban, dipercayai lebih 100 orang, manakala ratusan lagi cedera, demikian menurut agensi berita Reuters.

Amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa bumi sekuat 8.0 berlaku di dasar laut dekat American Samoa, dengan laporan yang menyebut kesan tsunami itu juga sampai ke New Zealand, mengakibatkan peningkatan paras air laut di beberapa negara kepulauan Pasifik Selatan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik telah membatalkan amarannya, tetapi Agensi Kajicuaca Jepun mengeluarkan arahan tsunami bagi kawasan di pantai timur negara itu, dengan kemungkinan dilanda tsunami setinggi 50sm (2 kaki).

Tsunami besar berlaku di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004 yang mengorban kira-kira 230,000 orang di 11 negara.

Sejurus selepas radio tempatan mengumumkan amaran tsunami, ombak besar melanda Pago Pago – ibunegara American Samoa, perkampungan serta tempat peranginan di pantai selatan kepulauan tersebut, kata saksi.

“Dipercayai mungkin hampir 100 terkorban,” kata penolong pegawai eksekutif pejabat pengurusan bencana Samoa Barat, Ausegalia Mulipola.

“Kami masih melancarkan kerja-kerja mencari mangsa-mangsa lain di kawasan terbabit,” katanya kepada Reuters, sambil berkata, pulau utama Upolu merupakan yang paling teruk dilanda tsunami.

“Terdapat laporan yang mengadakan ada perkampungan di mana rumah-rumah penduduknya dihanyutkan air laut,” katanya.

“Manakala sesetengah tempat ranap dan tsunami turut membawa banyak pasir dari pantai. Jadi terdapat laporan yang mengatakan pasir menimbus mayat-mayat mangsa yang terkorban. Jadi kami memerlukan peralatan khas untuk mencari mayat-mayat yang tertimbus dalam pasir,” katanya.

Di American Samoa, sebuah wilayah Amerika Syarikat (AS), jumlah kematian rasmi ialah 14 orang, tetapi menurut para pegawai, angka itu mungkin bertambah.

Lima ombak tsunami

Lima ombak tsunami merempuh Pago Pago, menenggelami pusat perniagaan di pelabuhannya serta memaksa lapangan terbang ditutup sementara.

Yachtsman Wayne Hodgins, yang kebetulan berada di pelabuhah Pago Pago harbour, berkata, beliau terdengar ada orang dihanyutkan tsunami.

Menurutnya, air yang besar dan ganas, datang dan surut dengan begitu cepat

Seorang pegawai pelancongan di American Samoa, David Vaeafe berkata, paras air naik tiga minit selepas amaran tsunami dikeluarkan dan memusnahkan kampung-kampung kecil di sekitar ibunegara itu.

“Akses ke Pago Pago telah ditutup. Paras air mencecah hingga ke tingkat satu. Stesen radio terpaksa dikosongkan, banyak kerosakan berlaku,” kata Vaeafe yang bercakap dari Pago Pago kepada kepada Stesen Sky Televisyan Australia.

Terdapat laporan berlaku kejadian memecah masuk pasaraya di Pago Pago ketika orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan makanan.

Kejadian tsunami itu mengakibatkan paras ombak mencecah 1.5 meter di atas paras biasa di American Samoa, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik Barat di Hawaii. Bagaimanapun tiada laporan rasmi bahawa paras ombak mencecah lebih 4 meteri.

Beratus-ratus orang, termasuk pelancong, lari meninggalkan rumah mereka dan pusat peranginan berhampiran pantai, untuk menyelamatkan diri di kawasan tanah tinggi.

“Sehingga ini, setiap orang berada di kawasan tanah tinggi,” kata Senetenari Malele, juruhebah sebuah stesen radio tempatan di American Samoa.

Beratus-ratus orang lagi mengalami kecederaan dalam kejadian tsunami tersebut.

“Mereka sedang dirawat oleh pasukan perubatan dan akan dibawa ke hospital utama, tetapi jalan dan komunikasi mengalami kerosakan,” kata ketua pegawai perubatan Samoa Barat, Palanitina Toelupe kepada Reuters yang menghubunginya di wad kecemasan di hospital besar negara itu di Apia.

“Setakat ini, kami berusaha membantu mereka. Tetapi kita pasti memerlukan bantuan dari negara-negara lain,” katanya.

Sumber Malaysiakini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.