November 24, 2009

Zaman saman-menyaman

pkfz-2Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong – Kuala Dimensi – terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

“TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting,” katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju ‘turnkey’ projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Sumber Malaysiakini.

November 12, 2009

Sanggup bunuh diri selepas adik ditembak mati polis

Anggota Polis memeriksa kereta penjenayah PCO Boy

Anggota Polis memeriksa kereta penjenayah PCO Boy

Akibat kesedihan yang amat sangat selepas kehilangan adiknya yang mati ditembak polis, seorang ibu dikatakan bertindak meminum racun serta turut memberi minum racun itu kepada empat orang anaknya.

Menurut setiausaha agung penaja Parti Hak Asasi Manusia, P Uthayakumar, wanita tersebut kini sedang dirawat bersama dua anaknya di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Manakala dua lagi anaknya dalam keadaan stabil.Isnin lalu, adik wanita itu, R Surendran adalah antara lima orang suspek jenayah yang mati ditembak polis di Taman Klang Utama.

Polis mendakwa kelima-lima mereka – berusia 17 hingga 30 tahun – adalah anggota geng ‘PCO Boy’, yang bertanggungjawab dalam beberapa kejadian rompakan.

Mengulas mengenai percubaan membunuh diri itu, Uthayakumar berkata: “Keluarga tersebut tidak boleh menerima ketidakadilan tersebut.”

Beliau mendakwa, oleh kerana tiada cara lain untuk menentangnya, maka mereka mengambil tindakan nekad tersebut ketika berdepan dengan saat yang amat memilukan itu.

Sumber Malaysiakini. Gambar Kosmo.

Dizaman moden dan serba canggih ni, yang betul nampak salah dan yang salah nampak betul.

Carian kesini:

October 16, 2009

Zaid cuti mengejut, krisis terbaru PKR

zaid ibrahimDatuk Zaid Ibrahim hari ini membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.

“Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Zaid, yang baru mengumumkan penyertaannya bersama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada Jun lalu, dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Naib Presiden PKR Azmin Ali.

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

July 8, 2009

Pembunuhan umat Islam Uighur – PAS kesal dengan China

urumqiPAS menegur Kerajaan China dan tidak setuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya memandang berat terhadap pembunuhan tersebut dan menggesa China menghentikannya seberapa segera.

“Sikap keras pemerintah China amat dikesali.

“PAS menyeru semua pihak sama ada penduduk berketurunan Uighur atau Han agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai,” tegasnya.

Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang, mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak.

Sementara itu Bernama melaporkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta China menangani punca masalah yang membabitkan minoriti Muslim berikutan dengan keganasan etnik yang buruk di wilayah Xinjiang baru-baru ini.

“Dunia Islam mengharapkan China, satu kuasa besar dan bertanggungjawab di dunia dengan sejarah hubungan persahabatan dengan dunia Muslim, menangani masalah minoriti Muslim di China dengan satu perspektif yang luas bagi menyelesaikan punca sebenar masalah itu,” menurut OIC yang beribu pejabat di Jeddah dalam kenyataan.

Ia menyatakan OIC bersedia menghulurkan bantuan dan mengadakan rundingan dengan kerajaan China mengenai usaha-usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah itu.

Menurut seorang jurucakap, setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu melahirkan kebimbangan terhadap keganasan itu dan penggunaan kekerasan yang tidak sewajarnya semasa insiden itu, yang dianggarkan sekurang-kurangnya 156 terbunuh dan lebih 1,000 orang cedera.

“OIC menggesa kerajaan China menjalankan siasatan dengan segera, berkesan dan telus mengenai keganasan yang serius itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah insiden itu berlaku lagi dan memastikan mangsa-mangsa kejadian ini diberikan pampasan dengan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

OIC menyatakan ramai mangsa keganasan itu adalah orang awam yang menunjukkan bahawa prinsip penggunaan kekerasan dan senjata api tidak mengikut undang-undang.

Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.

Sumber Harakah. Lagi info terkini [via]