July 11, 2009

PPSMI gugat prestasi siswa

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menggugat prestasi mahasiswa dalam bidang sains serta profesional.

Beliau juga dipetik sebagai berkata sebelum PPSMI dilaksanakan, ramai pelajar berjaya menjadi graduan dan profesional terutama dalam bidang perubatan serta kejuruteraan, “bagaimanapun selepas PPSMI diperkenalkan majoriti pelajar tidak berupaya.”

muhyiddin

Menteri pelajaran hari ini bagaimanapun berkata perubahan dasar itu – seperti di peringkat sekolah yang diumumkan beliau kelmarin – terserah kepada Kementerian Pengajian Tinggi, lapor Bernama.

“Di peringkat Tingkatan Enam… matrikulasi, memang komponen bahasa Malaysia itu digunakan di samping di situ juga terdapat kekuatan dalam bahasa Inggeris.

“Kita serahkan kepada (kementerian) Pengajian Tinggi untuk menentukan bagaimana caranya supaya proses itu akan sampai ke peringkat tertinggi walaupun di universiti sudah banyak terdapat penggunaan bahasa Inggeris.

“Kita mahu kemahiran berbahasa Inggeris (oleh pelajar) di peringkat itu mahir tetapi tidak mengetepikan kekuatan bahasa kebangsaan,” beliau dipetik berkata.

Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri, diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk di peringkat universiti – tidak seperti keputusan kerajaan yang hanya menghapuskan PPSMI di peringkat sekolah pada 2012.

Keputusannya tidak dibuat secara terburu-buru dan gopoh, katanya lagi, tetapi setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan Bahasa Inggeris yang memerlukan persiapan sempurna dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.

Persiapan ini, menurut agensi berita itu lagi, termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

“Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna. Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini.

“Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu,” katanya selepas satu program di Kolej TAR di Kampar.

Muhyiddin berkata tempoh dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan mencukupi untuk membuat persiapan kerana “kerajaan tidak mahu mengulangi masalah sama ketika melaksanakan dasar tersebut sebelum ini”.

July 9, 2009

Dr Mahathir pertikai mansuh PPSMI

Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

“Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut,” kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir “menerima dengan baik” keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.

Timbalan perdana menteri menambah, beliau dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam.

“Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar.

“Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik,” kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.

antippsmi

Beliau mengumumkan keputusan kabinet yang setuju memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012 dan memperkenalkan kembali bahasa Melayu, Cina dan Tamil di sekolah.

Menurutnya, penjelasannya kepada Dr Mahathir antaranya mengenai kemajuan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terbabit dengan dasar itu.

“Kita terangkan kepada Tun (Dr Mahathir) mengenai keupayaan guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris.

“Kita juga beritahu terdapat jurang yang besar di kalangan murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah bukan kebangsaan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir telah mencadangkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.

“Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita.

“Insya Allah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu,” kata Muhyiddin.

Carian kesini:

July 8, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.ppsmi

Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan lima Sasterawan Negara membantah dasar itu – mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

July 4, 2009

GMP mungkin akan adakan perhimpunan kali kedua

ppsmiGerakan Mansuh PPSMI (GMP) memberi amaran kepada kerajaan, berkemungkinan akan mengadakan perhimpunan 100 ribu mansuhkan PPSMI kali kedua jika kerajaan tidak hapuskan terus dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) bulan ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa GMP, Suhaizan Kaiat, perhimpunan yang dicadangkan itu dijangka lebih besar daripada 7 Mac lalu dan akan diadakan selepas hari raya puasa nanti.

“Kita beri kata dua kepada kerajaan sama ada hapuskan atau mereka akan menyaksikan perhimpunan kali kedua oleh beratus ribu rakyat selepas hari raya ini,” tegasnya.

Katanya, GMP membuat cadangan demikian berdasarkan janji Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keputusan mengenai dasar PPSMI akan diumumkan awal bulan ini.

Beliau berkata Muhyuddin menyebut, selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Jadi katanya, GMP tidak mahu lagi keputusan yang diambil kerajaan tidak ada kata muktamad untuk menghapuskan PPSMI.

Pada 7hb Mac lalu lebih 100 ribu rakyat berarak daripada Masjid Negara ke Istana Negara bagi mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI.

Himpunan yang dianjurkan GMP dan dipimpin Pengerusi GMP Dato Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato A Samad Said itu berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.