November 2, 2009

Bekas Mufti Perlis ditahan

MOHD ASRI ZAINUL ABIDINBekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut.
Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya.

Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib yang turut mempertikaikan kesahihan tindakan Jais untuk menahan Dr Mohd Asri.

Anggota Jais dikatakan memasuki banglo berkenaan kira-kira jam 9 malam dan kelihatan membawa Dr Mohd Asri keluar pada jam 12.10 ke Balai Polis Hulu Klang.

Polis yang memantau operasi turut berdepan masalah kerana tidak mempunyai waran tangkap dan hanya menjadi perantara bagi urusan membawa Dr Mohd Asri dan beberapa pengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

Turut mengiringi beliau ke balai polis ialah Zuraida, Saari dan beberapa pengikutnya menaiki kenderaan Jais.

Menurut sumber, Jais menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu, terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sekitar Selangor.

Sebelum ini beliau dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Fahaman itu diperkenalkan Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Muhammad dilahirkan pada 1703 di Najd.

Antara ajaran Wahabi ialah menolak doa qunut, amalan membaca Yasin, bertahlil di kuburan dan zikir selepas sembahyang yang menjadi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ajaran itu dikatakan menimbulkan keraguan serta kontroversi sehingga menyebabkan ia dikatakan punca perpecahan umat Islam di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Kebangsaan (Jappis) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan difahamkan menolak serta menyekat ajaran itu disebarkan di negara ini.

Ia tidak bersesuaian dengan pendekatan Islam di negara ini dan dikhuatiri akan menggugat perpaduan umat.

Sumber Bharian.

Carian kesini:

October 12, 2009

Komputer dirampas, guna perisian cetak rompak

pirate

Perisian original mahal kan? Kalau setakat student, adakah korang akan beli perisian original? Tak payah le jawab, aku boleh teka sendiri. Berapa kerat sangatkah kita yang beli perisian original, hakikatnya perisian original dengan yang cetak rompak tiada banyak beza langsung, hanyalah perisian original itu berlesen.

Kalau nak banding harga memang jauh sangat beza.  Microsoft Windows XP home yang asli boleh didapati dengan harga RM295 tapi kalau yang cetak rompak, boleh didapati dengan harga bawah RM10.  Tu pun siap boleh dapat XP profesional lagi. Dengan perisian lain tak payah banding lah, memang ada perisian yang harga beribu-ribu tapi versi cetak rompak berapa sangat lah harga dia.

Kat ofis-ofis pun belum tentu lagi pakai perisian original sepenuhnya.

Siapa perlu disalahkan? Pengguna? Penguatkuasaan yang lemah? Penjual? Kilang yang mengeluarkan?

Kalau dah dikenakan tindakan seperti dibawah ni, baru le mengelabah;

Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas sejumlah perisian komputer yang dipercayai melanggar peraturan bernilai RM794,300 daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kota Kemuning, Selangor pada Khamis lepas.

Ketua pengarahnya Mohd Roslan Mahayudin berkata rampasan ini kali pertama membabitkan institusi pendidikan yang disiasat di bawah Akta Hakcipta 1997.

“Pegawai penguatkuasa mengesan 58 salinan perisian yang melanggar peraturan dalam lapan komputer yang bernilai RM24,000 di pejabat pentadbiran institusi itu dan kita telah merampas kesemua untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Dalam satu lagi serbuan terhadap sebuah syarikat teknologi maklumat di Kuala Lumpur pada 7 Okt, bahagian penguatkuasa KPDNKK merampas 74 salinan perisian cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM125,800 dalam lapan buah komputer yang bernilai RM21,000 untuk siasatan lanjut.

“Kebanyakan suspek yang menggunakan perisian cetak rompak yang dikenakan tindakan ini menggunakan pelbagai versi program komputer seperti program Adobe, Autodesk, Microsoft dan Solidworks,” katanya.

Sumber Malaysiakini.

Penyelesaian? Perlahan-lahan beralih kepada Linux.

Carian kesini:

August 6, 2009

Tiada larangan siswa sertai sambutan merdeka ekoran H1N1

Kementerian Pengajian Tinggi tidak merancang untuk melarang pelajar universiti daripada menyertai sambutan hari Kemerdekaan hujung bulan ini ekoran penularan influenza A (H1N1) di kampus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penglibatan pelajar untuk menjayakan sambutan tersebut, setakat ini berjalan seperti yang dirancang.MOHAMED KHALED NORDIN

“Setakat ini tak ada (larangan). Semua berjalan seperti biasa. “Kita bersama dengan semua kementerian.

“Kita selaras dengan Kementerian Kesihatan. Kita akan dapatkan pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan tentang tindakan yang boleh dan perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pengumuman Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pemegang teknologi baru oleh Malaysian Biotechnology Corporation di ibunegara hari ini. Mohamad Khaled yang juga ahli Parlimen Pasir Gudang diminta mengulas langkah yang diambil kementeriannya dalam usaha untuk membendung penularan H1N1 di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Penularan wabak tersebut di Malaysia sehingga ini telah meragut 14 nyawa, termasuk korban terbaru seorang lelaki 57 tahun.

Sumber Malaysiakini.

July 11, 2009

PPSMI gugat prestasi siswa

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menggugat prestasi mahasiswa dalam bidang sains serta profesional.

Beliau juga dipetik sebagai berkata sebelum PPSMI dilaksanakan, ramai pelajar berjaya menjadi graduan dan profesional terutama dalam bidang perubatan serta kejuruteraan, “bagaimanapun selepas PPSMI diperkenalkan majoriti pelajar tidak berupaya.”

muhyiddin

Menteri pelajaran hari ini bagaimanapun berkata perubahan dasar itu – seperti di peringkat sekolah yang diumumkan beliau kelmarin – terserah kepada Kementerian Pengajian Tinggi, lapor Bernama.

“Di peringkat Tingkatan Enam… matrikulasi, memang komponen bahasa Malaysia itu digunakan di samping di situ juga terdapat kekuatan dalam bahasa Inggeris.

“Kita serahkan kepada (kementerian) Pengajian Tinggi untuk menentukan bagaimana caranya supaya proses itu akan sampai ke peringkat tertinggi walaupun di universiti sudah banyak terdapat penggunaan bahasa Inggeris.

“Kita mahu kemahiran berbahasa Inggeris (oleh pelajar) di peringkat itu mahir tetapi tidak mengetepikan kekuatan bahasa kebangsaan,” beliau dipetik berkata.

Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri, diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk di peringkat universiti – tidak seperti keputusan kerajaan yang hanya menghapuskan PPSMI di peringkat sekolah pada 2012.

Keputusannya tidak dibuat secara terburu-buru dan gopoh, katanya lagi, tetapi setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan Bahasa Inggeris yang memerlukan persiapan sempurna dalam tempoh dua setengah tahun akan datang.

Persiapan ini, menurut agensi berita itu lagi, termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

“Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna. Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini.

“Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu,” katanya selepas satu program di Kolej TAR di Kampar.

Muhyiddin berkata tempoh dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan mencukupi untuk membuat persiapan kerana “kerajaan tidak mahu mengulangi masalah sama ketika melaksanakan dasar tersebut sebelum ini”.