May 4, 2010

Mangsa tidak cuba rempuh polis kata saksi

Azamuddin Omar - Saksi

Azamuddin Omar - Saksi

Penumpang yang juga rakan remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis – Aminulrasyid Amzah menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.

“Apabila ditembak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluraga Aminulrasyid, hari ini.

Menceritakan kejadian Isnin lalu, Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan sebuah tembok dan polis terus menembak.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani rawatan untuk trauma.

Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

“Kami mahu siasatan diraja kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil,” katanya.Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendren, tidak perlu diadakan inkues kerana tidak ada pertikaian mengenai cara remaja itu meninggal dunia.

Kamaruddin juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata pihaknya sedia mengundurkan polis jika orang ramai tidak lagi mahu mereka menguat-kuasakan undang-undang.

“Kami hormati polis tetapi mungkin ada yang diibaratkan sengai ‘buah busuk’ di kalangan mereka,” katanya.

Keluarga berkenaan juga merayu kepada semua pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.

Antara kenyataan itu, termasuk dakwaan bahawa dua remaja berkenaan adalah penjenayah dan keluarha mereka patut dipersalahkan kerana membiarkan budak-budak berkenaan memandu tanpa lesen pada waktu tengah malam.

“Ada juga ura-ura bahawa kakak mangsa akan juga didakwa kerana keretanya digunakan,” katanya lagi.

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

July 14, 2009

Pasangan kekasih digantung sampai mati kes bunuh rakan

Tali gantungSeorang bekas pelajar kolej swasta bersama teman lelakinya didapati bersalah membunuh rakannya sendiri menangis teresak-esak selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Semasa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membacakan keputusan, Noralina Ahmad Dasuki, 22, yang gagal mengawal emosi terpaksa ditenangkan oleh ibupanya dan kerap kali menyatakan bahawa dia bersumpah tidak melakukan kesalahan itu.

Menurut Bernama, kejadian menyayat hati itu menarik perhatian wartawan dan petugas mahkamah hingga ada yang turut mengalirkan air mata, apatah lagi melihat pelukan bapa dan ibu bagi menggambarkan kasih sayang terhadap anak mereka.

Ibu Noralina yang tidak henti-henti mengalirkan air mata sempat menasihatkan anaknya supaya menerima keputusan itu sebagai takdir dan tidak lupa sembahyang serta berulang kali menyebut “Mama sayangkan adik, hanya Allah yang tahu apa berlaku, adik jangan tinggal sembahyang, berdoa banyak-banyak.”

Hampir 20 minit keadaan itu berlaku sehinggalah polis mahkamah membawanya keluar dari kandang tertuduh, Noralina masih lagi merayu agar ibunya menolong melepaskannya dan dia yang kelihatan lesu enggan menerima bekalan makanan walaupun dipujuk oleh anggota keluarga.

Sementara teman lelaki gadis tersebut, Muhammad Khairul Anuar Abdullah yang turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati turut mengalirkan air mata dan menekup mukanya dengan tangan setelah hakim membacakan hukuman.

Dalam keadaan tangan bergari sebelum dibawa ke lokap, dia memeluk anak lelakinya yang berusia tiga tahun dan menangis teresak-esak ketika didekati isterinya, lapor agensi berita itu lagi.

Pegawai penjara yang berada di mahkamah terpaksa membawa tertuduh ke lokap apabila melihat ibu Muhammad Khairul tidak dapat mengawal emosi dan meraung-raung bagaikan tidak mahu melepaskan anaknya itu.

Noralina, bekas pelajar kolej PTPL dan Muhammad Khairul, bekas pekerja Astro, didakwa membunuh Juliana Md Fuzi, 20, seorang pelajar Kolej Islam Antarabangsa di dalam bilik nombor 5133, Tingkat 5, Sunrise Apartment, Wisma Indah, Blok 498, Jalan Tun Razak, Cheras antara 23 Mac 2007 kira-kira pukul 10 malam dan 24 Mac 2007 kira-kira pukul 8 malam.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Ketika penghakiman, Mohamad Zabidin berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 33 orang saksi, manakala tertuduh pertama dan kedua – yang diperintah membela diri – masing-masing memanggil tiga saksi dan seorang saksi.

Dalam perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa ketika kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat di belakang dan leher terjerut menggunakan ‘cable light’ di dalam bilik serta terdapat kesan kuku yang menunjukkan mangsa meronta-ronta ketika pembunuhan berlaku dan beliau turut dirogol.

Keterangan beberapa saksi menyatakan kedua-dua tertuduh juga telah mengambil barang si mati seperti telefon bimbit, duit dan kad ATM.

Kedua-duanya juga telah membuang kain yang diambil dari tempat kejadian ke dalam lombong.

Di peringkat pembelaan pula, kedua-dua tertuduh saling menyalahkan antara satu sama lain.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yaacub Chik, manakala Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan peguam T Suresh bagi pihak Muhammad Khairul.

Carian kesini:

July 8, 2009

Pembunuhan umat Islam Uighur – PAS kesal dengan China

urumqiPAS menegur Kerajaan China dan tidak setuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya memandang berat terhadap pembunuhan tersebut dan menggesa China menghentikannya seberapa segera.

“Sikap keras pemerintah China amat dikesali.

“PAS menyeru semua pihak sama ada penduduk berketurunan Uighur atau Han agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai,” tegasnya.

Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang, mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak.

Sementara itu Bernama melaporkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta China menangani punca masalah yang membabitkan minoriti Muslim berikutan dengan keganasan etnik yang buruk di wilayah Xinjiang baru-baru ini.

“Dunia Islam mengharapkan China, satu kuasa besar dan bertanggungjawab di dunia dengan sejarah hubungan persahabatan dengan dunia Muslim, menangani masalah minoriti Muslim di China dengan satu perspektif yang luas bagi menyelesaikan punca sebenar masalah itu,” menurut OIC yang beribu pejabat di Jeddah dalam kenyataan.

Ia menyatakan OIC bersedia menghulurkan bantuan dan mengadakan rundingan dengan kerajaan China mengenai usaha-usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah itu.

Menurut seorang jurucakap, setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu melahirkan kebimbangan terhadap keganasan itu dan penggunaan kekerasan yang tidak sewajarnya semasa insiden itu, yang dianggarkan sekurang-kurangnya 156 terbunuh dan lebih 1,000 orang cedera.

“OIC menggesa kerajaan China menjalankan siasatan dengan segera, berkesan dan telus mengenai keganasan yang serius itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah insiden itu berlaku lagi dan memastikan mangsa-mangsa kejadian ini diberikan pampasan dengan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

OIC menyatakan ramai mangsa keganasan itu adalah orang awam yang menunjukkan bahawa prinsip penggunaan kekerasan dan senjata api tidak mengikut undang-undang.

Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.

Sumber Harakah. Lagi info terkini [via]