November 24, 2009

Zaman saman-menyaman

pkfz-2Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong – Kuala Dimensi – terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

“TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting,” katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju ‘turnkey’ projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Sumber Malaysiakini.

August 26, 2009

Ramai pemimpin Umno terlibat jika skandal PKFZ didedah

Chua Jui MengBekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mendakwa ramai pemimpin Umno yang terlibat jika didedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Umno, dakwanya lagi, tidak puas hati dengan dengan cara Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat mendedahkan skandal tersebut.

Bekas Menteri Kesihatan itu juga membayangkan apa yang dihadapi oleh Ong kini sebagai konspirasi Umno untuk menjatuhkannya.

Dakwaan Chua itu tampil selepas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam “payroll” Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.

KDSB ialah pemaju PKFZ.

Sejak Ong bergelut dengan pendedahan Tiong yang mendakwa memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA itu, tidak ada pemimpin Umno yang kelihatan bersimpati kepadanya.

“Pernahkah anda melihat Perdana Menteri tampil mempertahankan Ong? Pernahkah anda dengar Timbalan Perdana Menteri mempertahankan Ong berkaitan skandal PKFZ?

“Atau di mana para pemimpin Umno lain untuk mempertahankan Ong mengenai isu itu? Tidak ada”.

Perkara sedemikian, katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dahulu, wujud keakraban yang kukuh di mana para pemimpin BN akan mempertahankan satu sama lain tetapi perkara sedemikian tidak berlaku.

“Presiden parti komponen yang kedua terbesar dalam BN diserang dan tidak ada sesiapa pun dari Umno yang tampil mempertahankannya,” kata Chua ketika bercakap kepada para pemberita selepas majlis makan malam yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang di Bukit Mertajam Ahad lalu.

Menurut beliau lagi, apa yang berlaku itu, ditambah pula khabar angin yang tersebar luas di dalam BN yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek memimpin parti itu, telah melemahkan kedudukan Ong.

“Kesemua ini menunjukkan dakwaan Ong bahawa beliau diserang dari dalam dan luar adalah benar,” kata Chua.

Semalam, Ong hari ini menfailkan saman dengan tuntutan RM500 juta terhadap Tiong, tetapi apa yang popular sebagai kehendak hatinya yang mahu dilihat bersih dan telus telah banyak tercemar.

12 Ogos lalu, Tiong mendakwa beliau memberikan RM10 juta kepada Ong.

Sumber Harakah.

Carian kesini:

August 12, 2009

RM10 juta untuk presiden MCA

Peraduan HIDUP BERANI UNTUK GAGAL. Hadiah bernilai RM3750 untuk direbut. http://bit.ly/6AqlJB

Dua puluh empat jam selepas satu laporan polis dibuat terhadap syarikat pemaju Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pegawai tingginya membuat satu pendedahan yang mengejutkan.
pkfz-2

Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Seri Tiong King Sing – yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN – mendakwa beliau telah ‘menderma’ RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu.

Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.

Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan ‘berhutang’ kepada mereka sebanyak AS$40,000
bagi perkhidmatan tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, Tiong mendakwa beliau telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit selepas diminta berbuat demikian oleh Ong.

Wang tersebut dibayar secara tunai dalam tiga peringkat sewaktu pertemuan dengan presiden MCA itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Sumber Malaysiakini.

July 10, 2009

Lelaki tidak sempat nikmati RM350,000

corruptBelum pun sempat menikmati wang sogokan berjumlah RM350,000, seorang perunding pihak berkuasa tempatan negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan berhampiran pejabatnya kerana didakwa meminta wang sogokan daripada syarikat kontraktor bagi memperakui projek naik taraf Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas yang bernilai RM11 juta.

Difahamkan, kejayaan tersebut hasil kerjasama SPRM dan pengadu yang juga kontraktor projek. Perunding itu diperangkap setelah dia diminta datang mengambil wang sogokan itu.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md. Yatim berkata, wang sogokan yang diminta perunding terbabit adalah bagi memperakui kerja yang dilaksanakan sekali gus membolehkan pembayaran dipercepatkan.

Menurutnya, mengikut laporan daripada pemaju terbabit, lelaki berkenaan pada mulanya meminta RM400,000 namun beliau akhirnya bersetuju dengan jumlah RM350,000 seperti yang diminta oleh pengadu.

“Berikutan itu, pengadu membuat laporan kepada SPRM dan hasil kerjasamanya, kita menahan lelaki terbabit.

“Beliau bagaimanapun dibebaskan pagi ini dengan ikat jamin berjumlah RM50,000 oleh dua penjamin selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kertas siasatan mengenai perkara itu sedang disiapkan dan ia dijangka selesai dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada bahagian pendakwaan.

Latifah menjelaskan, siasatan dibuat mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda lima kali nilai suapan atau penjara sehingga 20 tahun.

Sumber Utusan.