July 14, 2009

Pasangan kekasih digantung sampai mati kes bunuh rakan

Tali gantungSeorang bekas pelajar kolej swasta bersama teman lelakinya didapati bersalah membunuh rakannya sendiri menangis teresak-esak selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Semasa Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membacakan keputusan, Noralina Ahmad Dasuki, 22, yang gagal mengawal emosi terpaksa ditenangkan oleh ibupanya dan kerap kali menyatakan bahawa dia bersumpah tidak melakukan kesalahan itu.

Menurut Bernama, kejadian menyayat hati itu menarik perhatian wartawan dan petugas mahkamah hingga ada yang turut mengalirkan air mata, apatah lagi melihat pelukan bapa dan ibu bagi menggambarkan kasih sayang terhadap anak mereka.

Ibu Noralina yang tidak henti-henti mengalirkan air mata sempat menasihatkan anaknya supaya menerima keputusan itu sebagai takdir dan tidak lupa sembahyang serta berulang kali menyebut “Mama sayangkan adik, hanya Allah yang tahu apa berlaku, adik jangan tinggal sembahyang, berdoa banyak-banyak.”

Hampir 20 minit keadaan itu berlaku sehinggalah polis mahkamah membawanya keluar dari kandang tertuduh, Noralina masih lagi merayu agar ibunya menolong melepaskannya dan dia yang kelihatan lesu enggan menerima bekalan makanan walaupun dipujuk oleh anggota keluarga.

Sementara teman lelaki gadis tersebut, Muhammad Khairul Anuar Abdullah yang turut dijatuhi hukuman gantung sampai mati turut mengalirkan air mata dan menekup mukanya dengan tangan setelah hakim membacakan hukuman.

Dalam keadaan tangan bergari sebelum dibawa ke lokap, dia memeluk anak lelakinya yang berusia tiga tahun dan menangis teresak-esak ketika didekati isterinya, lapor agensi berita itu lagi.

Pegawai penjara yang berada di mahkamah terpaksa membawa tertuduh ke lokap apabila melihat ibu Muhammad Khairul tidak dapat mengawal emosi dan meraung-raung bagaikan tidak mahu melepaskan anaknya itu.

Noralina, bekas pelajar kolej PTPL dan Muhammad Khairul, bekas pekerja Astro, didakwa membunuh Juliana Md Fuzi, 20, seorang pelajar Kolej Islam Antarabangsa di dalam bilik nombor 5133, Tingkat 5, Sunrise Apartment, Wisma Indah, Blok 498, Jalan Tun Razak, Cheras antara 23 Mac 2007 kira-kira pukul 10 malam dan 24 Mac 2007 kira-kira pukul 8 malam.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Ketika penghakiman, Mohamad Zabidin berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil 33 orang saksi, manakala tertuduh pertama dan kedua – yang diperintah membela diri – masing-masing memanggil tiga saksi dan seorang saksi.

Dalam perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa ketika kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat di belakang dan leher terjerut menggunakan ‘cable light’ di dalam bilik serta terdapat kesan kuku yang menunjukkan mangsa meronta-ronta ketika pembunuhan berlaku dan beliau turut dirogol.

Keterangan beberapa saksi menyatakan kedua-dua tertuduh juga telah mengambil barang si mati seperti telefon bimbit, duit dan kad ATM.

Kedua-duanya juga telah membuang kain yang diambil dari tempat kejadian ke dalam lombong.

Di peringkat pembelaan pula, kedua-dua tertuduh saling menyalahkan antara satu sama lain.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yaacub Chik, manakala Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan peguam T Suresh bagi pihak Muhammad Khairul.

Carian kesini:

March 5, 2009

Keputusan kes bunuh ditangguh kerana komputer diserang virus

Keputusan kes seorang penarik kereta yang didakwa membunuh seorang lelaki Bajau yang sepatutnya didengar hari ini terpaksa ditangguhkan pada hari lain berikutan komputer setiausaha seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini diserang virus.

Sebelum ini, keputusan kes membabitkan tertuduh, Irwan Amat, 32, yang juga anggota Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) turut ditangguhkan sebanyak dua kali.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad memaklumkan mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan sekali lagi kerana data yang tersimpan di dalam komputer setiausahanya diserang virus.

Justeru, sambil memohon maaf, beliau menetapkan 30 Mac ini untuk membuat keputusan.

Tertuduh, dari suku Suluk, Sabah, didakwa membunuh Jibal Salim, 34, seorang buruh, di tempat letak kereta Blok Cempaka, Country Homes, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 9.45 malam pada 16 Okt 2003. Jika sabit kesalahan, Irwan yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. — Bernama

January 25, 2009

Mati ketika dalam tahanan polis

Seorang penjenayah yang mati dalam tahanan polis menimbulkan keraguan dikalangan masyarakat terhadap setakat mana layanan terhadap penjenayah oleh polis. Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di balai polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada Selasa.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudian menyatakan kematian Kugan telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Sebelas anggota polis berpangkat konstabel dan lans koperal dari balai polis Subang Taipan – di mana seoang pemuda A Kugan meninggal dunia dalam tahanan polis – telah dipindahkan serta merta semalam.

Berita lanjut :

http://malaysiakini.com/news/97132

http://malaysiakini.com/news/97103