November 24, 2010

Petani desak projek Arowana dibatalkan

Penduduk di daerah Kerian, Perak dan sebahagian Seberang Perai Selatan Pulau Pinang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Perak membatalkan segera projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah kerana mendakwa operasi penanaman padi mereka terjejas, lapor HarakahDaily.

Kawasan penanaman padi yang terbesar di Perak itu meliputi mukim Bagan Serai, Beriah, Gunung Semanggol, Selinsing, Parit Buntar dan Nibung Tebal.

Sehubungan itu, petani yang ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak projek ternakan ikan itu dihentikan. Mereka mendakwa selagi ternakan itu beroperasi semua pesawah akan menanggung risiko terutamanya air yang begitu sukar diperolehi ketika kerja-kerja membajak.

Langkah itu juga wajar kerana ia menjejaskan matlamat utama bekalan air Tasek Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah berkenaan.

Wakil petani, Mohd Rasid Salim berkata, projek yang bermula pada tahun 2000 kini sudah mempunyai 3,808 buah kolam dengan jumlah 70 orang pengusaha berbanding dulu tidak sampai 10 pengusaha.

Petani bertambah kecewa apabila semua aduan mereka kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidak diendahkan dan pegawainya didakwa bersikap lepas tangan seolah-olah menyokong ternakan ikan Arowana yang dikatakan membawa pendapatan lumayan.

“Penduduk kecewa dengan JPS yang tidak memperdulikan nasib petani yang sepatutnya mereka bela bukan membiarkan pengusaha mengambil air sepanjang masa lagipun kawasan itu kawasan pertanian dan sesuai untuk tanaman padi,” katanya dengan nada marah.

Mohd Rasid juga kecewa dengan sikap sesetengah orang kampung yang katanya, begitu seronok memajak tanah kepada pengusaha untuk mendapatkan habuan kecil tanpa menyedari bahawa mereka sebaliknya telah diperkudakan.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu Gajah, Ahmad Nordin pula meminta Menteri Besar Perak turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi oleh petani di Kerian yang merupakan kawasan padi terluas di Perak.

“Adakah kerajaan mahu melihat kawasan tanaman padi terus musnah dengan kerja-kerja pengusaha tersebut yang entah datang dari mana untuk mengusaha ternakan berkenaan?

“Mereka yang datang dari luar untung besar kami petani rugi mendadak. Apa tidaknya akibat kekurangan air padi terencat dan pengeluarannya menurut hampir 70 peratus,” jelasnya.

Bagi pengusaha sawah, Azman Nordin, ada juga pengusaha mendapat notis dari Pejabat Tanah Daerah Kerian kerana melanggar syarat tanah namun tidak diendahkah sebaliknya meneruskan kerja-kerja industri akuakultur seperti biasa.

Bila sampai musim memulakan pembajakan sawah lazimnya berlaku bertengkaran antara pesawah dan pengusaha ataupun pesawah dengan JPS kerana air tidak dapat dialirkan dengan baik ke petak-petak sawah sebaliknya JPS menghadkan tiga hari sahaja dengan alasan mahu memberikan air ke kawasan lain pula.

Dakwa Azman, JPSsebenarnya mendengar arahan dari pada pengusaha yang menuntut air dibekalkan kepada mereka untuk 24 jam selama 360 hari yang sekaligus menafikan kepentingan air kepada petani sedia ada.

Sementara itu Presiden CAP, SM Mohamed Idris ketika sidang media di pejabatnya semalam menjelaskan, projek tersebut harus dibatalkan kerana ia tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak.

CAP, katanya percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah ini akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

JPS juga didakwa gagal membanteras kegiaan mencuri air oleh pengusaha terbabit. Rekod menunjukkan dari tarikh 15 Ogos hingga 28 Oktober lalu takungan air di Tasek Merah menurun sebanyak 0.2 kaki (2.4 inci) sehari.

Air Tasek Merah bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah melibatkan keluasan sawah 24 ribu hektar tetapi juga menjadi kegunaan harian 200 ribu penduduk setempat.

Carian kesini:

December 8, 2009

Wartakan zon ternakan kelisa?

bmaMasa aku balik kampung baru-baru ni dan pergi memancing di kolam Bukit Merah, sempat juga aku tinjau-tinjau kolam Kelisa di sekitar kawasan Bukit Merah tu. Memang banyak terdapat kolam ternakan kelisa. Yang baru nak didirikan pun ada.

Makin meriah nampaknya kawasan tu dengan ikan kelisa. Tanah kawasan tu pasti akan jadi lebih mahal. Sawah-sawah pasti akan bertukar jadi kolam ikan. Tak hairanlah perkara ini berlaku sebab harga ikan kelisa memang mahal. Tentu sahaja pemodal yang rakus akan mengambil kesempatan atas situasi ini. Kalau nilai ikan dalam sesebuah kolam tu mencecah jutaan ringgit, siapa yang taknak merebut peluang macam tu.

Harga tanah sebelum ni adalah Rm15000 seekar telah menjadi sehingga RM300000 seekar ekoran perkembangan industri ternakan ikan kelisa.

Buat masa ini sebanyak 40 hektar kawasan sawah telah dijadikan kolam ternakan ikan berkenaan yang mendapat pasaran baik.

BAGAN SERAI, 7 Dis (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Asas Tani akan meminta kerajaan negeri Perak mewartakan kawasan seluas kira-kira 100 hektar di Bukit Merah dekat sini sebagai zon akuakultur khusus bagi industri ternakan ikan kelisa.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata usaha itu perlu dibuat bagi memastikan “jelapang padi” Kerian tidak terjejas dengan lebih banyak ekoran permintaan tinggi bagi kawasan berkenaan untuk dijadikan kolam ternakan ikan kelisa.

“Kita perlu bincang dengan kerajaan negeri Perak untuk wujudkan zon akuakultur…kena hadkan kerana bimbang lebih banyak sawah akan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah di sini.

Noh berkata kawasan sawah padi yang sebelum ini hanya bernilai kira-kira RM15,000 seekar kini mendapat tawaran harga sehingga RM300,000 ekoran perkembangan industri ternakan ikan kelisa.

Beliau berkata buat masa ini sebanyak 40 hektar kawasan sawah telah dijadikan kolam ternakan ikan berkenaan yang mendapat pasaran baik.

“Kawasan sekitar Tasik Bukit Merah merupakan satu-satunya habitat ikan kelisa emas di dunia…pengurusan yang mampan amat perlu bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terus kekal di habitat asalnya,” katanya.

Mengenai pelan berkenaan, Noh berkata ia sebahagian daripada usaha kementerian untuk memastikan industri berkenaan dapat diperluaskan pasarannya terutama ke Amerika Syarikat.

Beliau berkata ikan kelisa Malaysia tidak dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat tanpa pelan pemuliharaan.

Spesies ikan berkenaan tersenarai sebagai spesies kawalan untuk perdagagangan antarabangsa mengikut Konvensyen Perdagangan Antarbangsa mengenai spesies flora dan fauna terancam (CITES) dan sebanyak 27 pengusaha ikan kelisa di Malaysia berdaftar dengan CITES, katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata Malaysia kini pengeluar kedua terbesar ikan kelisa selepas Indonesia.

Pelan pengurusan berkenaan diperkenalkan bagi mencapai matlamat memulihara stok sumber ikan kelisa emas yang endemik di Tasik Bukit Merah, katanya.

Sempena majlis berkenaan sebanyak 110 ekor anak kelisa emas bernilai kira-kira RM200,000 dilepaskan ke tasik berkenaan.


Carian kesini: