June 1, 2010

Nama aktivis yang perlu dibunuh telah ditulis

Penyerangan terhadap kapal Mavi Marmara sebenarnya memang sudah dirancang. Ini dibuktikan dengan penemuan dokumen daripada poket salah seorang komando Israel yang menyerang kapal berkenaan.

Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan ramai yang lain. Dokumen itu dijumpai dan dibongkarkan kepada media antarabangsa dan media Turki khususnya yang ikut serta dalam rombongan itu.

Perkara ini mengejutkan ramai orang dan mengundang pelbagai protes keras di Turki dan beberapa negara lain.

Sumber.

May 31, 2010

Konvoi Gaza kena serang

Sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia dalam serangan ganas tentera zionis Yahudi dan masih ada kemungkinan akan terus bertambah serta lebih daripada 50 orang lainnya mengalami kecederaan, lapor laman web Haluan Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan hari berkabung selama tiga hari di seluruh wilayah Palestin sebagai penghormatan terhadap para korban serangan kejam Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Perdana Menteri Palestin daripada Hamas, Ismail Haniyah juga mendeklarasikan aksi mogok beramai-ramai sebagai tanda berkabung untuk para korban dan tercedera akibat serangan Israel yang terjadi hari ini terhadap para aktivis kemanusiaan.

Di antaranya adalah Syeikh Raed Salah, ketua Gerakan Islam di Palestin, yang mengalami luka serius akibat serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal Freedom Flotilla.

Ismail Haniyah juga berkata dalam kenyataannya kepada media bahawa mereka yang bersama konvoi bantuan Gaza sebagai pahlawan bangsa Palestin, dan Hamas mendesak para pemimpin Arab untuk mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengakhiri pengepungan Gaza.

“Pemerintah Palestin di Gaza menghormati usaha konvoi armada freedom flotilla untuk memecahkan pengepungan terhadap Gaza,” kata Ismail lagi.

“Kami menganggap semua yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut sebagai syuhada Palestin, syahid atas usaha mereka merobohkan pengepungan terhadap Gaza,” tambahnya.

(12.30 tengah hari waktu Malaysia) †Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.

Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada di atas kapal dan Allah SWT sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka. Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/

Sumber Harakah.

Carian kesini:

November 24, 2009

Zaman saman-menyaman

pkfz-2Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong – Kuala Dimensi – terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

“TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting,” katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju ‘turnkey’ projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Sumber Malaysiakini.

October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar

KD Sri Inderapura

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kehilangan kapal yang banyak berjasa kepada negara apabila kapal pendaratan KD Sri Inderapura, terbakar di sini awal pagi semalam.

Difahamkan, kapal itu sedang membuat persiapan penghantaran logistik ke Markas Wilayah Laut 2, di Kota Kinabalu dan dijadualkan akan belayar Isnin ini.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 6.30 pagi dan ini kali kedua kapal itu terbabit dalam kebakaran selepas kejadian pertama pada 2002.

Ketika kejadian, 77 anggota termasuk enam pegawai dan 22 pelatih sedang bertugas dan usaha memadam dijalankan sejurus menyedari kebakaran.

Dua pasukan Bomba dan Penyelamat TLDM dihantar ke tempat kejadian sebelum tiga lagi pasukan Bomba dan Penyelamat, iaitu masing-masing dua dari Seri Manjung dan satu dari Sitiawan membantu. Selain itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam turut membantu.

Tinjauan Berita Harian jam 2 petang semalam mendapati api berjaya dikawal dan kerja memadamkan diteruskan, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian kerana ia kawasan keselamatan negara.

Kapal yang berusia hampir 40 tahun itu dibina pada 1970 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dengan kekuatan 324 anggota.

DI PORT DICKSON, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan kebakaran tiada unsur sabotaj dan tiada kena mengena dengan ancaman kumpulan Benteng Demokratik Rakyat (Bendera) Indonesia yang dikatakan mahu menyerang Malaysia.

“Siasatan awal mendapati punca kebakaran akibat litar pintas. Bagaimanapun, lembaga siasatan yang diketuai pegawai berpangkat kapten atau kolonel sudah ditubuhkan,” katanya.

Beliau sudah memaklumkan kejadian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diminta mencari alternatif untuk menggantikan kapal itu.

“Kapal ini sudah musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kapal seperti ini sukar diperoleh di pasaran. Jika ada keperluan, kerajaan akan membeli kapal baru menggantikan KD Seri Inderapura.

“Buat sementara, kita akan mendapatkan kapal sedia ada untuk menghantar logistik ke Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan Bendera Indonesia, Ahmad Zahid mengakui ia memang wujud di negara berkenaan, tetapi bukan provokasi ketenteraan.

“Saya sudah meminta Panglima 3 Divisyen di Sarawak memantau pergerakan mereka. Polis dan imigresen turut mengambil langkah sama,” katanya.

Sumber bharian.

Carian kesini: