November 24, 2009

Zaman saman-menyaman

pkfz-2Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong – Kuala Dimensi – terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

“TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting,” katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju ‘turnkey’ projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Sumber Malaysiakini.

November 2, 2009

Bekas mufti dakwa disabotaj

Bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri menganggap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membuatkan beliau menunggu selama lebih sejam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini, adalah sebagai satu sabotaj.

Sehingga pukul 10 pagi, pihak JAIS tidak hadir ke mahkamah, sedangkan Mohd Asri tiba sejak pukul 9 pagi seperti yang diarahkan JAIS.

“Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

“Pihak JAIS yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu ‘tangan ghaib’ siapa disebaliknya,” kata Mohd Asri.

ustaz_asri1Terdahulu, lebih 100 individu memenuhi perkarangan mahkamah sejak pukul 9 pagi tadi untuk memberi sokongan terhadap beliau yang hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah.

Antara yang hadir ialah Datin Paduka Marina Mahathir, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan pengasas Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar.

Turut kelihatan ialah wakil kepada Senator Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Umno, PAS dan PKR; serta enam orang peguam dari pelbagai firma guaman.

Mohd Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi, namun dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Sementara itu, Thalia Rohaina Abdul Latif yang merupakan salah seorang peguam yang hadir di pejabat agama tersebut berkata, perkara ini tidak sepatutnya terjadi dan JAIS sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penahanan.

“Mereka (JAIS) datang menyerbu beliau di premis rakannya dan pada waktu itu beliau sedang menikmati makan malam, dan bukannya sedang memberikan ceramah seperti yang didakwa.

“JAIS sepatutnya siasat dulu sebelum membuat tuduhan,” katanya.

Penyokong-penyokong Mohd Asri juga menganggap isu tidak bertauliah bukanlah alasan yang logik kerana beliau merupakan bekas mufti dan mempunyai kelayakan dalam ilmu hadis.

Menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, beliau turut tidak berpuas hati apabila pihak JAIS turut mengaitkan Mohd Asri mengamalkan fahaman Wahabi.

Mohd Asri bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

“Itu hanya fahaman rekaan mereka,” jelasnya yang turut diwakili oleh peguam Zulkifli Che Yong, Azmi Mohd Rais dan beberapa peguam pemerhati dari mahkamah sivil.

Dalam pada itu, Datin Paduka Marina Mahathir akui, beliau pernah mengikuti syarahan dan menyokong penuh bekas mufti itu.

“Beliau kena aniaya kerana tuduhan itu tidak berasas. Beliau adalah seorang mufti, takkanlah tidak bertauliah?

“Kalau dikatakan mengamalkan fahaman Wahabi, mereka faham kah makna Wahabi itu? Mereka kena faham terlebih dahulu, barulah buat tuduhan,” kata Marina dalam nada marah.

Carian kesini:

September 29, 2009

Manohara belum jawab

Manohara Odelia Pinot belum memfailkan apa-apa pembelaan terhadap saman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry Ismail Petra yang menuntutnya kembali taat setia kepada suaminya dan tuntutan bayaran hutang berjumlah RM1,112,250 dari model Indonesia itu.manohara

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu telah memberi masa 14 hari kepada Manohara untuk menjawab saman tersebut, dan tempoh itu telah berakhir pada 21 September lalu.

Peguam yang mewakili Tengku Fakhry hari ini berkata pihaknya akan membantah kelewatan pemfailan dan penyerahan tersebut yang dilakukan tanpa alasan yang wajar dan munasabah.

“Ini menunjukkan defendan tidak serius dengan kes ini,” kata Zainul Rijal Abu Bakar kepada Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Zainul Rijal berkata sehingga hari ini pihaknya belum menerima pembelaan bagi tuntutan tersebut walaupun Manohara diarahkan oleh mahkamah supaya difailkan dan disampaikan kepada pihaknya.

“Kami juga tidak menerima sebarang permohonan memohon lanjutan masa dari peguam syarie defendan bagai memanjangkan tempoh pemfailan dan penyerahan pembelaan-pembelaan berkenaan.

Zainul Rijal berkata, beliau telah meminta penjelasan dari peguam syarie defendan tersebut di firma Faiz Adnan & Associates, tetapi belum menerima apa-apa jawapan.

Pada 4 Julai lalu, Tengku Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, iaitu menuntut agar isterinya itu yang telah kembali ke Indonesia pada 31 Mei lalu supaya kembali taat dan menyerahkan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM1,112,250.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya.

Pada 9 September lalu, firma guaman Tetuan Fakrul Hisham Abdullah & Associates yang dilantik Manohara dan ibunya Daisy Fajarina dalam kes saman fitnah RM105 juta yang dikemukakan Tengku Fakhry, telah menarik diri daripada menjadi peguamcara kepada mereka berdua.

Dalam kes sivil itu juga, Manohara dan Daisy masih tidak menfailkan pembelaan bagi menjawab pernyataan tuntutan Tengku Fakhry, walaupun tempoh untuk berbuat demikian telah tamat.

Carian kesini: