November 25, 2009

Telefon bimbit terbaru daripada HTC kini di Malaysia

HTC HD2

HTC HD2

Jika sebelum ini saya review telefon Nokia dan Sony Ericsson, tibalah masanya saya review telefon HTC. Secara ringkasnya, HTC menggunakan Windows Mobile sebagai sistem operasi. Ada juga yang menggunakan Android. Tapi kali ini saya akan review HTC HD2 yang dikatakan bakal menyaingi iphone yang sudahpun berada dipasaran Malaysia.

HTC HD2 adalah Windows pertama yang menggunakan HTC Sense, iaitu pengumpulan hubungan tertumpu dengan menjadikan telefon berkerja lebih mudah, semulajadi dan lebih peribadi. Semua ciri dalam telefon adalah dianggap terbaru dengan resolusi lebih tinggi, skrin lebar sesentuh kapasitif 4.3inci, dan ultra tipis memberikan kandungan lebih tajam, lebih cerah dan lebih kaya.

Telefon ini yang pertama menggunakan sesentuh kapasitif pada Windows untuk paparan,lebih mudah untuk zoom dan menukar saiz website, membuka fail Ms Office, membuka PDF dan gambar dengan menggunakan sejemput jari anda. Skrin lebih besar menjadikan taipan lebih efisyen dan mudah. HTC HD2 dilengkapkan dengan pemproses terbaru Qualcomm Snapdragon 1Ghz. Ini menawarkan peningkatan kuasa berbanding model sebelum ini dari segi kelajuan applikasi, video, permainan dan banyak lagi.

Dibangunkan dengan hasrat untuk meningkatkan kehidupan masyarakat melalui inovasi, rekabentuk dan kemudahan penggunaan, HTC Sense berasaskan pada tiga prinsip-prinsip asas iaitu Make it Mine, Stay Close dan Discover the Unexpected.

Make It Mine
HD2 bukan sahaja mencerminkan apa yang anda inginkan pada telefon tetapi juga mencerminkan dimana anda berada. Dengan skrin besar, HD2 membawakan dimensi baru kepada paparan cuaca beranimasi, tanpa mengganggu kandungan penting dan maklumat. HD2 juga boleh memuat turun applikasi daripada Windows Marketplace untuk telefon bimbit yang menggunakan sistem operasi Windows Mobile.

Dilengkapi kamera 5MP

Dilengkapi kamera 5MP

Stay Close
HTC HD2 membantu anda merapatkan jurang dengan keluarga dan teman-teman. HD2 menggunakan pendekatan komunikasi menggunakan satu tetingkap kenalan untuk setiap orang tanpa mengambilkira apakah panggilan, sms, status Facebook atau email yang digunakan. Ketika membaca email yang diterima, anda juga boleh terus membuat panggilan kepada penghantar dengan terus menekan kekunci panggil. Telefon ini juga dilengkapi dengan applikasi Twitter tersedia iaitu HTC Peep. Gambar yang diambil dengan kamera 5MP dengan mudah dapat dikongsi melalui Facebook dan Twitter.

Discover the Unexpectedhtc_hd2c
Dengan HTC Sense, HTC HD2 merangkumi pelbagai peranti tambahan yang memperluas dan memperbaiki keseluruhan pengalaman telefon. HD2 merangkumi pelbagai sensor termasuk sensor jarak yang digunakan untuk mencegah kesilapan menyentuh skrin apabila telefon diangkat untuk menjawab atau membuat panggilan.Sebuah sensor cahaya secara automatik menyesuaikan kecerahan skrin. Telefon ini juga boleh menjadi WiFi peribadi dimana sahaja untuk komputer dan peranti lain.

Sebagai telefon yang menggunakan Windows Mobile 6.5(terbaru) kemampuan browsing dan produktiviti telah dipertingkatkan. Telefon ini berkeupayaan untuk menyelaras dan mengurus banyak akaun email dengan menggunakan Microsoft Exchange. Perisian yang disertakan juga boleh backup dan menyelaras gambar, muzik, hubungan serta sms dan boleh pula dimuat naik ke internet.

Ketika pergi ke Low Yat baru-baru ini, didapati telefon ini sudah berada dipasaran. Anggaran harga bagi telefon ini adalah sekitar RM2800-RM3000.

Carian kesini:

November 24, 2009

Budaya lepak dan ponteng sekolah dikalangan pelajar

Budaya lepak dan ponteng sekolah bukanlah perkara baru, ianya sudah ada sejak lama dulu cuma istilah lepak tu baru. Kalau nak ikut zaman aku sekolah dulu, tak pernah aku ponteng sekolah semata-mata untuk lepak. Maklumla kelas pandai dulu :P

Zaman aku sekolah dulu mana ada CC lagi kat bandar. Jadi tak ada la istilah lepak-lepak kat CC. Ponteng sekolah tak jadi perkara serius kat sekolah. Masih lagi terkawal.

Berbeza dengan sekarang, budak-budak sekrang bukan setakat ponteng sekolah malah sudah berani melawan guru. Tapi tu cerita lain.

Aku nak ucapkan tahniah kepada sekumpulan guru di JB yang menjadi Paparazi mengintip kegiatan murid-murid yang ponteng. Sekurang-kurangnya ianya mengurangkan gejala ponteng ni kat sekolah. Ibu-bapa dan guru masing-masing sepatutnya bekerjasama untuk mendidik murid-murid dan tidak hanya menyandarkan beban pada guru-guru.

CCJOHOR BAHRU: Misi sekumpulan guru yang terpaksa menjadi ‘paparazi’ selama hampir dua bulan bagi menangani masalah pelajar ponteng di sebuah sekolah di bandar raya ini berjaya merakamkan kira-kira 50 gambar dan video pelajar terbabit melakukan pelbagai kegiatan tidak berfaedah dan bermoral termasuk menonton filem lucah beramai-ramai.

Semuanya akan dijadikan bahan bukti untuk didedahkan pada ibu bapa, sekali gus membuka mata mereka berhubung sikap sebenar anak masing-masing di sekolah berbanding ketika di rumah.

Pengurusan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir di sini, terpaksa mengambil pendekatan berbeza daripada kebiasaan itu bagi membendung gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah berkenaan yang meruncing terutama pada beberapa hari terakhir sebelum tamat penggal persekolahan 2009, Jumaat lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Abdullah Abdul Rahman, berkata langkah itu terpaksa diambil memandangkan timbul keresahan di pihak sekolah dan ibu bapa berikutan bilangan pelajar sekolah berkenaan ponteng pernah mencecah kira-kira 100 orang setiap hari.

Katanya, bilangan pelajar di sekolah berkenaan kira-kira 2,000 orang, namun gejala ponteng sekolah tidak sepatutnya diberi pengecualian dengan mengambil kira jumlah keseluruhan pelajarnya, kerana ia ibarat barah yang boleh merosakkan badan manusia jika tidak dirawat di peringkat awal.

“Sekumpulan guru yang ditugaskan mengawasi pergerakan kumpulan pelajar yang disyaki sebagai kaki ponteng dengan menjadikan lorong berhampiran kawasan sekolah sebagai tempat melepak merakam pelbagai aksi mengejutkan kami.

“Mereka bukan saja berfoya-foya, malah ada yang melepak di kediaman rakan sehingga tamat waktu persekolahan dengan bermain terup, merokok, melakukan vandalisme dan paling mengejutkan ialah menonton filem lucah beramai-ramai,” katanya selepas Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis dirasmikan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor yang turut menyampaikan sijil kepada peserta.

Abdullah berkata, semua gambar dan rakaman itu akan dipertontonkan kepada ibu bapa terutama bagi mereka yang tidak mengakui kesalahan anak masing-masing atau tidak menyedari perbuatan anak-anak terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

“Tindakan ini bukan untuk membuka pekung sesiapa, tetapi lebih kepada menimbulkan kesedaran kepada pihak terbabit dan menunjukkan pihak sekolah berusaha melakukan sesuatu bagi membendung gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar,” katanya.

Menurutnya, PIBG merancang melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ pelajar ponteng sekolah menghabiskan masa dengan membawa bersama ibu bapa pelajar yang disyaki.

Menurutnya, ibu bapa harus sedar peranan mereka juga penting dalam memastikan anak-anak yang keluar rumah pada hari persekolahan, benar-benar sampai di sekolah dan tidak melencong ke tempat lain.

“Hasil rakaman dan gambar itu membantu kami mengurangkan kes pelajar ponteng sekolah, di mana rekod terakhir menunjukkan bilangan pelajar ponteng sekolah ialah kira-kira 30 orang berbanding 100 sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, pihak pentadbiran sekolah dan guru harus memainkan peranan bagi membendung masalah pelajar ponteng sekolah.

Katanya, polis sentiasa membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung tindakan ke arah membendung gejala tidak sihat membabitkan pelajar.

“Gejala ponteng sekolah tidak seharusnya berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Apabila lebih 100 orang dikatakan ponteng sekolah setiap hari, ia sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera,” katanya.

Sumber Metro.

Carian kesini:

November 24, 2009

Zaman saman-menyaman

pkfz-2Ahli parlimen Bintulu yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing telah memfailkan saman fitnah terhapda Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berhubung satu laporan mengenai rasuah di Malaysia.

Low, ketika melancarkan Laporan Rasuah Global Transparency International 2009 (GCR 2009) dua bulan lalu, telah membuat kenyataan bahawa skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), telah menjadi isu utama di Malaysia.

Syarikat Tiong – Kuala Dimensi – terbabit dalam skandal PKFZ yang membabitkan berbilion ringgit.

Setiausaha Agung TI-M, CI Ngooi berkata, TI-M telah menerima saman tersebut semalam.

Sebelum ini katanya, TI-M telah menjawab surat tuntutan dari Tiong, dengan menyatakan pihak tidak pasti bagaimana ia telah memfitnah ahli parlimen Bintulu itu.

Selepas itu, katanya, TI-M tidak menerima apa-apa berita dari Tiong, sehingga saman itu diserahkan semalam.

Ngooi berkata, ahli-ahli TI-M memutuskan dalam mesyuarat agung tergemparnya pada 7 November lalu untuk mempertahankan GCR 2009 dan Low, serta menubuhkan tabung guaman.

“TI-M berharap orang ramai akan menyokong penubuhan tabung tersebut, supaya TI-M tidak terganggu dalam melaksanakan kerja-kerjanya yang amat penting,” katanya.

Kuala Dimensi menjadi tumpuan beberapa bulan kebelakangan ini selepas ia dikenalpasti sebagai punca kos projek PKFZ meningkat dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion, dan kemudiannya dijangka boleh melambung kepada RM12 bilion.

PKFZ diwujudkan untuk menjadi hab pemindahan barangan ke kapal dan dibina di tapak seluas 405 hektar yang mengandungi gedung, blok pejabat dan hotel empat bintang. Kuala Dimensi adalah pemaju ‘turnkey’ projek tersebut.

Berikutan itu, Kuala Dimensi pemilik projek PKFZ – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terbabit dalam saman menyaman antara satu sama lain.

Sumber Malaysiakini.

November 23, 2009

Marsha belum terdesak

Marsha Milan LondohENTAH mengapa, cerita sensasi tentang Marsha tidak pernah kesudahan sejak dia muncul di persada seni tanah air empat tahun lalu.

Pelbagai kisah yang mengheretnya ke kancah kontroversi sering kali menguliti dirinya sehingga ada yang berpendapat Marsha lebih selesa menjaja kisah sensasi daripada kerjayanya.

Sebaik sahaja kisah cinta bersama bekas teman lelakinya, Kefli terputus di pertengahan jalan, ramai yang beranggapan Marsha seolah-olah terdesak mencari cinta baru.

Masakan tidak, namanya sering kali dikaitkan dengan artis lelaki popular tanah air seperti Hans Isaac, Andy dari kumpulan Estranged dan terbaru Yusry Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU.

Benarkah Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh ini memang terdesak untuk mencari cinta bagi mengisi kekosongan hatinya itu?

Sebaik sahaja selesai sesi fotografi bersamanya di Studio Utusan baru-baru ini, soalan itu terus diajukan kepadanya.

Sambil menghela nafas panjang, dia menggeleng-geleng kepalanya sebagai tanda bahawa dia bukan wanita seperti itu.

Katanya, paparan di media tentang dirinya sebagai seorang wanita yang terdesak dan kemaruk cinta semuanya berpunca daripada salah faham.

Dia juga tidak menyangka gurauan pada mulanya akhirnya menjadi berita sensasi sehingga melabelkan dirinya sebagai seorang wanita yang tidak pandai menjaga harga diri.

Cerita Marsha, semuanya bermula sewaktu dia dan beberapa orang temannya duduk berkumpul di restoran.

Kebetulan pula, ketika itu juga ada seorang temannya membawa majalah hiburan dan mereka sama-sama membelek serta membaca majalah tersebut.

“Ketika itu, dalam majalah tersebut ada paparan tentang kisah Yusry dan secara spontan juga, saya memuji ketampanan serta menyatakan keinginan saya untuk bertemu dengannya dalam nada bergurau.

“Jujurnya, saya sendiri tidak pernah bertemu secara empat mata dengan Yusry. Saya sendiri tidak menyangka gurauan itu akhirnya bertukar menjadi satu perkara yang kontroversi.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya masih lagi ada maruah diri dan sama sekali bukan seorang wanita terdesak untuk mencari cinta,” kata Marsha penuh bersungguh mempertahankan prinsip dirinya.

Malah dengan penuh jujur Marsha menjelaskan dia sebenarnya sudah lelah dan penat dengan kisah palsu tentang dirinya yang sering dijaja.

Jelasnya, dia faham dengan senario dunia artis yang tidak dapat lari dari terkena tempias gosip.

“Saya tidak pernah melatah mahupun melenting tentang apa sahaja cerita yang tidak benar tentang diri saya kerana saya ada penjelasan tentangnya.

“Cuma, saya sesekali tidak akan berkompromi mahupun bertoleransi dengan cerita yang membabitkan keluarga saya. Itu memang satu kepantangan buat saya,” luah Marsha lembut dalam nada yang cukup tegas.

Satu yang pasti, Marsha tidak menafikan bahawa dia mahu menikmati alam percintaan seperti mana yang pernah ditempuhinya sebelum ini.

Baginya, dunia cinta adalah satu kenikmatan yang tidak terhingga dan sebagai seorang wanita, dia mahu memiliki keluarganya sendiri andai bertemu dengan seseorang yang layak dijadikan suaminya.

“Saya juga tidak menolak ketentuan takdir seandainya jodoh saya itu adalah lelaki Melayu,” katanya ringkas sambil tersenyum manja.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang gosip selepas ini, jelasnya, dia kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar yang harus difikirkannya.

Apatah lagi dengan kerjaya seninya yang mula kembali mengharum selepas menempuhi perjalanan seni selama lima tahun yang penuh liku.

Memang kini Marsha boleh tersenyum bangga dan puas apabila single terbarunya, Yang Terbaik mula menjadi perhatian ramai serta mendaki carta lagu-lagu popular.

Penerimaan meluas lagu itu bukan setakat di Malaysia sahaja bahkan ia juga sudah mula mencuri perhatian peminat muzik di Singapura dan Brunei.

Ternyata lagu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim itu telah membuka lembaran baru dalam hidup Marsha yang cukup dikenali menerusi lagu Untuk Terakhir Kali itu.

Lagu berentak pop progresif itu, kata Marsha, merupakan projek istimewa dan kolaborasi pertama di antara syarikatnya sendiri, Marsha Londoh Entertainment dan KRU Productions.

Apa yang membuatkan Marsha bangga dan puas hati dengan penghasilan lagu Yang Terbaik apabila Edry berjaya menterjemahkan idea dan konsep seperti mana yang dimahukan.

“Saya benar-benar bersyukur kerana lagu Yang Terbaik telah mempopularkan kembali nama saya dan sekali gus membuktikan bahawa kehadiran saya diterima dengan baik sekali.

“Mungkin tuah lagu ini kerana bunyinya yang segar dan berbeza dengan apa yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Ini adalah permulaan yang baik buat saya untuk terus memperkasakan kedudukan saya di persada seni tanah air,” ujar Marsha yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat pada 6 Disember.

Tidak cukup dengan itu, muzik video Yang Terbaik juga mendapat pujian apabila ia menampilkan aspek videografi dan teknik pengarahan yang berbeza serta unik.

Melihatkan sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu Yang Terbaik, Marsha menjelaskan dia kini sedang merancang pembikinan album pertamanya yang bakal diterbitkan oleh sebuah syarikat rakaman baru.

“Album ini kelak akan menyuntik elemen baru dan segar yang akan menampilkan sisi saya yang berbeza tetapi konsepnya itu tidak akan berubah secara drastik.

“Saya masih akan mengekalkan imej saya seperti mana sebelum ini yang dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu balada,” katanya yang juga akan kembali mengikuti kelas piano yang sudah lama ditinggalkan. Marsha akan muncul dengan single keduanya pada bulan Februari depan.

Apa yang dimiliki Marsha hari ini katanya, merupakan berkat kesabaran dan ketabahannya meniti laluan berliku sepanjang bergelar anak seni.

Sepanjang tempoh itu juga, anak ketiga daripada empat beradik ini menjelaskan banyak pengalaman dan pelajaran yang diperolehinya dalam menjadikannya seorang wanita matang.

Dalam masa yang sama, Marsha juga mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit tempatan untuk berlakon di bawah produksi mereka baik untuk drama mahupun filem.

Antara drama yang menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon adalah Korban 44 dan drama online, Kerana Karina.

Bukan itu sahaja, Marsha juga kini sibuk untuk menghabiskan baki rakaman drama komedi, Berita Hangit terbitan Afdlin Shauki yang bakal ditayangkan di TV9 tahun depan.

Dia juga bakal membintangi sebuah drama bersiri muzikal terbitan KRU Studios bersama-sama Dafi, Bob, Anding dan Wangi dari kumpulan The Fabulous Cats yang bakal ditayangkan di TV3 juga pada tahun 2010.

Filem terbarunya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys yang ditayangkan sejak 19 November lalu juga mencuri perhatian peminat apabila buat pertama kalinya dia membawakan watak tomboy.

“Berlakon dalam filem ini memang menguji saya kerana sentiasa tidak kering gusi dengan keletah kumpulan Senario.

“Memang seronok berlakon bersama mereka dan Ahmad Idham sebagai pengarah pula banyak membantu untuk mewarnakan lagi watak Zuraidah yang saya bawakan ini.

“Menerusi filem ini, saya banyak belajar untuk menjadi lebih spontan tanpa terlalu mengikut skrip,” ujarnya yang pernah membintangi filem Saus Kacang bersama Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair selain menanti tayangan dua buah filem lagi iaitu Empat Madu dan Magika.

Source Utusan.

Carian kesini: