October 23, 2009

Pengarah syarikat Buluhmas dihadapkan ke Mahkamah

buluh-masDua beranak yang merupakan pengarah Syarikat Buluhmas Enterprise Sdn Bhd semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di Klang bagi 69 pertuduhan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram melibatkan RM22 juta.

Azmi Ame Hamzah, 26, menghadapi 38 pertuduhan melakukan kegiatan itu dari 3 Mac 2008 hingga 6 Jan tahun ini manakala bapanya Ame Hamzah Mat Atar, 51, menghadapi 31 pertuduhan melakukan kegiatan itu dari 15 Mei 2008 hingga 6 Jan lepas, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mereka berdua yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu didakwa menggunakan hasil daripada kegiatan itu untuk membeli sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional, membeli beberapa rumah kedai di Kedah dan Terengganu, membayar deposit kenderaan dan kereta mewah, membeli unit-unit amanah dan sebuah banglo di Terengganu.

Azmi juga menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu menerima deposit tanpa lesen yang sah dari 14 Dis 2006 hingga 13 Okt 2008 dan dari 14 April 2008 hingga 13 Okt 2008 mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Azmi diikat jamin RM200,000 bagi kesemua tuduhan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis Tanjung Karang pada setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Hakim Datuk Anita Harun pula membenarkan Ame Hamzah diikat jamin RM350,000 dan perlu melapor diri di Balai Polis Tanjung Karang pada setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes manakala kedua-dua beranak itu diwakili peguam Mohd Yunus Sharif. BERNAMA

Carian kesini:

October 16, 2009

Zaid cuti mengejut, krisis terbaru PKR

zaid ibrahimDatuk Zaid Ibrahim hari ini membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti.

“Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Zaid, yang baru mengumumkan penyertaannya bersama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada Jun lalu, dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Naib Presiden PKR Azmin Ali.

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

October 14, 2009

Sejarah Malaysiakini

Malaysiakini 1999

Malaysiakini 1999

Ianya bermula pada November 1998 – dua bulan selepas pemecatan dan penangkapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana hanya menyiarkan pandangan yang menyokong kerajaan dalam krisis kepimpinan yang melanda Malaysia itu.

“Keperluan kepada berita yang bebas, amat jelas sekali. Ketika menjamu selera di sebuah restoran mamak di Petaling Jaya, timbul cadangan untuk mewujudkan sebuah akhbar bawah tanah,” kata pengasas bersamanya, Premesh Chandran, bekas wartawan akhbar The Sun yang ketika itu bertugas dengan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).

“Bagaimanapun, satu lagi cadangan yang dianggap lebih sesuai dikemukakan – mewujudkan sebuah lamanweb berita,” tambahnya.

mkini01

Malaysiakini 2001

Idea awalnya ialah untuk mengumpulkan tidak lebih daripada empat orang untuk menerbitkan tiga hingga lima berita sehari. Lamanweb itu akan dibiayai menerusi sumbangan dan melalui pendapat daripada perniagaan sampingan warung siber.

Premesh kemudiannya menulis kertas konsep dan mengedarkannya kepada individu-individu yang berminat. Kertas kerja itu bertajuk ‘The Daily Diet – It’s free, fast and true.”

Akhirnya enam individu mengumpul RM30,000 untuk membeli sebuah warung kafe di SS2, Petaling Jaya – untuk dijadikan pusat operasi lamanweb berkenaan.

Nama Malaysiakini merupakan pilihan muktamad untuk lamanweb tersebut, dengan cogan kata – ‘Only the news that matters’.

mkini02

Malaysiakini 2002

Nama Malaysiakini.com didaftar pada bulan April 1999. Bagaimanapun, pada bulan Julai, warung kafe itu mengalami kerugian dan terpaksa dijual.

“Ketika itu, projek tersebut nampaknya tidak menuju ke mana-mana. Tetapi kemudiannya, kami berjaya menyakinkan Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) – sebuah gabungan pertubuhan wartawan di rantau ini yang beribupejabat di Bangkok – untuk memberi geran AS$100,000,” kata seorang lagi pengasas bersamanya, Steven Gan yang ketika itu bertugas dengan akhbar The Nation di Thailand.

Malaysiakini membuka pejabatnya pada 1 Oktober di tingkat empat sebuah rumah kedai dekat Jaya Supermarket (yang kini telah roboh) di Seksyen 14, Petaling Jaya. Gan pulang dari Bangkok sehari sebelumnya, dan mula bertugas di pejabat tersebut.

Malaysiakini 2004

Malaysiakini 2004

“Tiada banyak masa yang kami ada. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan dengan memanggil pilihan raya umum mengejut. Pada masa itu, ramai yang menjangka pilihan raya itu akan diadakan pada tahun 2000,” kata Gan.

“Berikutan itu, diputuskan untuk melancarkan Malaysiakini lebih awal dengan membuat laporan langsung mengenai hari penamaan calon pada 20 November 1999.”

Malaysiakini versi 1.0 diselenggarakan oleh pereka web berusia 19 tahun, Sarah Shazreena Sharin.

Tinggal lima hari sebelum pelancarannya, tiga wartawan sulung Malaysiakini - Ng Boon Hooi, Hidayatul Ein Azmi dan Ajinder Kaur – melaporkan diri bersama dengan beberapa orang sukarelawan.

Malaysiakini 2005

Malaysiakini 2005

Dan Malaysiakini muncul membuat laporan langsung pada hari penamaan calon bagi pilihanraya umum 1999.

Dan itulah saat kami dilahirkan…

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar

KD Sri Inderapura

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kehilangan kapal yang banyak berjasa kepada negara apabila kapal pendaratan KD Sri Inderapura, terbakar di sini awal pagi semalam.

Difahamkan, kapal itu sedang membuat persiapan penghantaran logistik ke Markas Wilayah Laut 2, di Kota Kinabalu dan dijadualkan akan belayar Isnin ini.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 6.30 pagi dan ini kali kedua kapal itu terbabit dalam kebakaran selepas kejadian pertama pada 2002.

Ketika kejadian, 77 anggota termasuk enam pegawai dan 22 pelatih sedang bertugas dan usaha memadam dijalankan sejurus menyedari kebakaran.

Dua pasukan Bomba dan Penyelamat TLDM dihantar ke tempat kejadian sebelum tiga lagi pasukan Bomba dan Penyelamat, iaitu masing-masing dua dari Seri Manjung dan satu dari Sitiawan membantu. Selain itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam turut membantu.

Tinjauan Berita Harian jam 2 petang semalam mendapati api berjaya dikawal dan kerja memadamkan diteruskan, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian kerana ia kawasan keselamatan negara.

Kapal yang berusia hampir 40 tahun itu dibina pada 1970 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dengan kekuatan 324 anggota.

DI PORT DICKSON, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan kebakaran tiada unsur sabotaj dan tiada kena mengena dengan ancaman kumpulan Benteng Demokratik Rakyat (Bendera) Indonesia yang dikatakan mahu menyerang Malaysia.

“Siasatan awal mendapati punca kebakaran akibat litar pintas. Bagaimanapun, lembaga siasatan yang diketuai pegawai berpangkat kapten atau kolonel sudah ditubuhkan,” katanya.

Beliau sudah memaklumkan kejadian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diminta mencari alternatif untuk menggantikan kapal itu.

“Kapal ini sudah musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kapal seperti ini sukar diperoleh di pasaran. Jika ada keperluan, kerajaan akan membeli kapal baru menggantikan KD Seri Inderapura.

“Buat sementara, kita akan mendapatkan kapal sedia ada untuk menghantar logistik ke Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan Bendera Indonesia, Ahmad Zahid mengakui ia memang wujud di negara berkenaan, tetapi bukan provokasi ketenteraan.

“Saya sudah meminta Panglima 3 Divisyen di Sarawak memantau pergerakan mereka. Polis dan imigresen turut mengambil langkah sama,” katanya.

Sumber bharian.

Carian kesini: