October 9, 2009

KD Sri Inderapura terbakar

KD Sri Inderapura

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kehilangan kapal yang banyak berjasa kepada negara apabila kapal pendaratan KD Sri Inderapura, terbakar di sini awal pagi semalam.

Difahamkan, kapal itu sedang membuat persiapan penghantaran logistik ke Markas Wilayah Laut 2, di Kota Kinabalu dan dijadualkan akan belayar Isnin ini.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 6.30 pagi dan ini kali kedua kapal itu terbabit dalam kebakaran selepas kejadian pertama pada 2002.

Ketika kejadian, 77 anggota termasuk enam pegawai dan 22 pelatih sedang bertugas dan usaha memadam dijalankan sejurus menyedari kebakaran.

Dua pasukan Bomba dan Penyelamat TLDM dihantar ke tempat kejadian sebelum tiga lagi pasukan Bomba dan Penyelamat, iaitu masing-masing dua dari Seri Manjung dan satu dari Sitiawan membantu. Selain itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Boustead Naval Shipyard dan bot tunda awam turut membantu.

Tinjauan Berita Harian jam 2 petang semalam mendapati api berjaya dikawal dan kerja memadamkan diteruskan, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian kerana ia kawasan keselamatan negara.

Kapal yang berusia hampir 40 tahun itu dibina pada 1970 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dengan kekuatan 324 anggota.

DI PORT DICKSON, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan kebakaran tiada unsur sabotaj dan tiada kena mengena dengan ancaman kumpulan Benteng Demokratik Rakyat (Bendera) Indonesia yang dikatakan mahu menyerang Malaysia.

“Siasatan awal mendapati punca kebakaran akibat litar pintas. Bagaimanapun, lembaga siasatan yang diketuai pegawai berpangkat kapten atau kolonel sudah ditubuhkan,” katanya.

Beliau sudah memaklumkan kejadian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diminta mencari alternatif untuk menggantikan kapal itu.

“Kapal ini sudah musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Kapal seperti ini sukar diperoleh di pasaran. Jika ada keperluan, kerajaan akan membeli kapal baru menggantikan KD Seri Inderapura.

“Buat sementara, kita akan mendapatkan kapal sedia ada untuk menghantar logistik ke Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan Bendera Indonesia, Ahmad Zahid mengakui ia memang wujud di negara berkenaan, tetapi bukan provokasi ketenteraan.

“Saya sudah meminta Panglima 3 Divisyen di Sarawak memantau pergerakan mereka. Polis dan imigresen turut mengambil langkah sama,” katanya.

Sumber bharian.

Carian kesini:

September 4, 2009

Agong sambut kapal selam Scorpene

scorpene_malaysiaSejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di Pelabuhan Kelang hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga anggota keluarga anak kapal KD TAR.

Sumber Malaysiakini.

Carian kesini:

August 26, 2009

Ramai pemimpin Umno terlibat jika skandal PKFZ didedah

Chua Jui MengBekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mendakwa ramai pemimpin Umno yang terlibat jika didedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Umno, dakwanya lagi, tidak puas hati dengan dengan cara Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat mendedahkan skandal tersebut.

Bekas Menteri Kesihatan itu juga membayangkan apa yang dihadapi oleh Ong kini sebagai konspirasi Umno untuk menjatuhkannya.

Dakwaan Chua itu tampil selepas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam “payroll” Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.

KDSB ialah pemaju PKFZ.

Sejak Ong bergelut dengan pendedahan Tiong yang mendakwa memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA itu, tidak ada pemimpin Umno yang kelihatan bersimpati kepadanya.

“Pernahkah anda melihat Perdana Menteri tampil mempertahankan Ong? Pernahkah anda dengar Timbalan Perdana Menteri mempertahankan Ong berkaitan skandal PKFZ?

“Atau di mana para pemimpin Umno lain untuk mempertahankan Ong mengenai isu itu? Tidak ada”.

Perkara sedemikian, katanya, tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Dahulu, wujud keakraban yang kukuh di mana para pemimpin BN akan mempertahankan satu sama lain tetapi perkara sedemikian tidak berlaku.

“Presiden parti komponen yang kedua terbesar dalam BN diserang dan tidak ada sesiapa pun dari Umno yang tampil mempertahankannya,” kata Chua ketika bercakap kepada para pemberita selepas majlis makan malam yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang di Bukit Mertajam Ahad lalu.

Menurut beliau lagi, apa yang berlaku itu, ditambah pula khabar angin yang tersebar luas di dalam BN yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek memimpin parti itu, telah melemahkan kedudukan Ong.

“Kesemua ini menunjukkan dakwaan Ong bahawa beliau diserang dari dalam dan luar adalah benar,” kata Chua.

Semalam, Ong hari ini menfailkan saman dengan tuntutan RM500 juta terhadap Tiong, tetapi apa yang popular sebagai kehendak hatinya yang mahu dilihat bersih dan telus telah banyak tercemar.

12 Ogos lalu, Tiong mendakwa beliau memberikan RM10 juta kepada Ong.

Sumber Harakah.

Carian kesini:

August 25, 2009

Najib harap Kartika merayu

Datuk Seri Najib Razak berkata Kartika Sari Dewi Shukarno – yang akan dihukum sebat enam rotan selepas Ramadhan atas kesalahan mengambil alkohol – boleh membuat rayuan dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.

Perdana menteri dilaporkan menjelaskan pendirian kerajaan pusat ialah ia tidak boleh mempertikaikan soal agama dan, tambahnya, soal agama terletak di bawah pihak berkuasa Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Kartika Sari mempunyai ruang untuk merayu, Bernama memetiknya sebagai berkata.Kartika Sari Dewi Shukarno

Kartika Sari, 32, seorang model dilaporkan enggan merayu di atas hukumannya itu dan bersedia untuk menerima hukuman itu.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan antara Indonesia dan Semenanjung Malaysia seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Najib berkata ia merupakan inisiatif swasta setakat ini.

Kerajaan pusat akan mengkaji perkara itu sekiranya terdapat cadangan tetapi setakat ini belum ada cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan pusat, katanya.

Sumber Malaysiakini.