December 8, 2009

Wartakan zon ternakan kelisa?

bmaMasa aku balik kampung baru-baru ni dan pergi memancing di kolam Bukit Merah, sempat juga aku tinjau-tinjau kolam Kelisa di sekitar kawasan Bukit Merah tu. Memang banyak terdapat kolam ternakan kelisa. Yang baru nak didirikan pun ada.

Makin meriah nampaknya kawasan tu dengan ikan kelisa. Tanah kawasan tu pasti akan jadi lebih mahal. Sawah-sawah pasti akan bertukar jadi kolam ikan. Tak hairanlah perkara ini berlaku sebab harga ikan kelisa memang mahal. Tentu sahaja pemodal yang rakus akan mengambil kesempatan atas situasi ini. Kalau nilai ikan dalam sesebuah kolam tu mencecah jutaan ringgit, siapa yang taknak merebut peluang macam tu.

Harga tanah sebelum ni adalah Rm15000 seekar telah menjadi sehingga RM300000 seekar ekoran perkembangan industri ternakan ikan kelisa.

Buat masa ini sebanyak 40 hektar kawasan sawah telah dijadikan kolam ternakan ikan berkenaan yang mendapat pasaran baik.

BAGAN SERAI, 7 Dis (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Asas Tani akan meminta kerajaan negeri Perak mewartakan kawasan seluas kira-kira 100 hektar di Bukit Merah dekat sini sebagai zon akuakultur khusus bagi industri ternakan ikan kelisa.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata usaha itu perlu dibuat bagi memastikan “jelapang padi” Kerian tidak terjejas dengan lebih banyak ekoran permintaan tinggi bagi kawasan berkenaan untuk dijadikan kolam ternakan ikan kelisa.

“Kita perlu bincang dengan kerajaan negeri Perak untuk wujudkan zon akuakultur…kena hadkan kerana bimbang lebih banyak sawah akan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah di sini.

Noh berkata kawasan sawah padi yang sebelum ini hanya bernilai kira-kira RM15,000 seekar kini mendapat tawaran harga sehingga RM300,000 ekoran perkembangan industri ternakan ikan kelisa.

Beliau berkata buat masa ini sebanyak 40 hektar kawasan sawah telah dijadikan kolam ternakan ikan berkenaan yang mendapat pasaran baik.

“Kawasan sekitar Tasik Bukit Merah merupakan satu-satunya habitat ikan kelisa emas di dunia…pengurusan yang mampan amat perlu bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terus kekal di habitat asalnya,” katanya.

Mengenai pelan berkenaan, Noh berkata ia sebahagian daripada usaha kementerian untuk memastikan industri berkenaan dapat diperluaskan pasarannya terutama ke Amerika Syarikat.

Beliau berkata ikan kelisa Malaysia tidak dapat menembusi pasaran Amerika Syarikat tanpa pelan pemuliharaan.

Spesies ikan berkenaan tersenarai sebagai spesies kawalan untuk perdagagangan antarabangsa mengikut Konvensyen Perdagangan Antarbangsa mengenai spesies flora dan fauna terancam (CITES) dan sebanyak 27 pengusaha ikan kelisa di Malaysia berdaftar dengan CITES, katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata Malaysia kini pengeluar kedua terbesar ikan kelisa selepas Indonesia.

Pelan pengurusan berkenaan diperkenalkan bagi mencapai matlamat memulihara stok sumber ikan kelisa emas yang endemik di Tasik Bukit Merah, katanya.

Sempena majlis berkenaan sebanyak 110 ekor anak kelisa emas bernilai kira-kira RM200,000 dilepaskan ke tasik berkenaan.


Carian kesini:

October 19, 2009

Pelabur Australia risau kelajuan internet Malaysia

slowSyarikat-syarikat Australia yang berhasrat untuk melabur di Malaysia bimbang dengan tahap kelajuan Internet yang tidak memuaskan di negara ini, kata timbalan pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia- Australia, Michael Halpin.

Capaian Internet yang laju adalah penting bagi syarikat-syarikat Australia yang mempunyai dokumen besar untuk dihantar dari Malaysia ke ibu pejabat mereka di Australia, katanya.

“Ada dokumen teknikal yang amat besar dan selalunya kami mendapati ia mengambil masa yang panjang untuk menghantar dokumen-dokumen sebegini akibat kelembapan Internet di Malaysia.

“Capaian Internet di Australia lebih laju daripada di Malaysia.

“Pelabur-pelabur Australia dan Amerika mendapati ini menjengkelkan dan menghalang mereka menjalankan perniagaan dengan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan di majlis makan tengah hari dengan pegawai kerajaan negeri Selangor, wakil-wakil majlis perniagaan dan kedutaan asing.

Ditanya jika kelajuan Internet di Malaysia adalah lebih perlahan daripada negara-negara jiran, Halpin berkata:

“Tidak, tetapi adakah Malaysia mahu setaraf dengan mereka? Malaysia adalah pilihan utama sebagai destinasi pelaburan, tetapi perbezaan antara Malaysia, Indonesia dan Vietnam semakin hilang.”

Isu lain yang menjadi kebimbangan syarikat-syarikat Australia dan bakal pelabur ialah tahap keselamatan, di mana terdapat banyak laporan berita mengenai jenayah kecil dan ragut di negara ini.

Halpin bagaimanapun berkata beliau tidak menjangkakan bahawa syarikat-syarikat Australia yang sedang beroperasi di sini akan berpindah tetapi keadaan ini mungkin akan menghalang kedatangan syarikat-syarikat baharu ke Malaysia.

Sumber Malaysiakini.

Jangankan pelabur Australia risau, rakyat marhaen kat Malaysia ni pun risau keselowan internet yang macam ciput. Marketing je lebih. :-)

Carian kesini:

July 9, 2009

Dr Mahathir pertikai mansuh PPSMI

Kira-kira sejam selepas pengumuman dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikannya.

“Walaupun pandangan saya diminta, ia tidak dicerminkan dalam keputusan tersebut,” kata bekas perdana menteri itu secara ringkas di blognya kira-kira 4 petang tadi.

Beliau memaklumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pegawai kanan kementerian bertemunya Isnin lalu untuk memaklumkan keputusan memansuhkan dasar yang diperkenalkannya pada 2003.

Dalam kenyataan awal empat ayat itu, Dr Mahathir enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengungkapkan kembali bantahannya terhadap desakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) awal Mac lalu.

Dalam sidang medianya sewaktu pengumuman itu, Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir “menerima dengan baik” keputusan memansuhkan dasar kontroversi tersebut.

Timbalan perdana menteri menambah, beliau dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam.

“Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar.

“Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik,” kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.

antippsmi

Beliau mengumumkan keputusan kabinet yang setuju memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012 dan memperkenalkan kembali bahasa Melayu, Cina dan Tamil di sekolah.

Menurutnya, penjelasannya kepada Dr Mahathir antaranya mengenai kemajuan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terbabit dengan dasar itu.

“Kita terangkan kepada Tun (Dr Mahathir) mengenai keupayaan guru yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris.

“Kita juga beritahu terdapat jurang yang besar di kalangan murid sekolah kebangsaan dengan murid sekolah bukan kebangsaan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Dr Mahathir telah mencadangkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) digunakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi BN, menafikan keputusan memansuhkan polisi itu bertujuan menguatkan BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai, Selasa depan.

“Ini bukan keputusan untuk kepentingan politik tetapi untuk masa depan anak-anak kita.

“Insya Allah BN akan menang di Manek Urai. Keputusan ini dibuat atas dasar kajian dan pertimbangan yang mendalam mengenai polisi itu,” kata Muhyiddin.

Carian kesini:

July 8, 2009

Pembunuhan umat Islam Uighur – PAS kesal dengan China

urumqiPAS menegur Kerajaan China dan tidak setuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, pihaknya memandang berat terhadap pembunuhan tersebut dan menggesa China menghentikannya seberapa segera.

“Sikap keras pemerintah China amat dikesali.

“PAS menyeru semua pihak sama ada penduduk berketurunan Uighur atau Han agar kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai,” tegasnya.

Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang, mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak.

Sementara itu Bernama melaporkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta China menangani punca masalah yang membabitkan minoriti Muslim berikutan dengan keganasan etnik yang buruk di wilayah Xinjiang baru-baru ini.

“Dunia Islam mengharapkan China, satu kuasa besar dan bertanggungjawab di dunia dengan sejarah hubungan persahabatan dengan dunia Muslim, menangani masalah minoriti Muslim di China dengan satu perspektif yang luas bagi menyelesaikan punca sebenar masalah itu,” menurut OIC yang beribu pejabat di Jeddah dalam kenyataan.

Ia menyatakan OIC bersedia menghulurkan bantuan dan mengadakan rundingan dengan kerajaan China mengenai usaha-usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di wilayah itu.

Menurut seorang jurucakap, setiausaha agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu melahirkan kebimbangan terhadap keganasan itu dan penggunaan kekerasan yang tidak sewajarnya semasa insiden itu, yang dianggarkan sekurang-kurangnya 156 terbunuh dan lebih 1,000 orang cedera.

“OIC menggesa kerajaan China menjalankan siasatan dengan segera, berkesan dan telus mengenai keganasan yang serius itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mencegah insiden itu berlaku lagi dan memastikan mangsa-mangsa kejadian ini diberikan pampasan dengan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

OIC menyatakan ramai mangsa keganasan itu adalah orang awam yang menunjukkan bahawa prinsip penggunaan kekerasan dan senjata api tidak mengikut undang-undang.

Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.

Sumber Harakah. Lagi info terkini [via]