November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha

Selamat Hari Raya AidilAdha

Selamat Hari Raya AidilAdha

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.

Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut.

Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, “…Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:…”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar.”(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.

Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.

Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.

Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.

Jika pada Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri. Cuba perhatikan, banyak pergolakan di dunia yang berlaku kebanyakannya ditimbulkan oleh rasa tidak puas hati antara golongan yang lemah yang tidak mempunyai kecukupan dalam kehidupan serta menderita kelaparan, terhadap mereka yang hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Oleh kerana itu, umat Islam wajib untuk memikir dan memperhatikan nasib golongan ini, dan inilah di antara hikmah penyembelihan korban yang mulia.

Dengan demikian, ibadat penyembelihan korban di Aidil Adha bukan sahaja sebagai tanda shukur nikmat Allah SWT yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya terkandung rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama golongan umat Islam, juga mampu merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta.

Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata. Pada saat itu, mereka merasakan ikatan ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.

Sumber Ikim.

Carian kesini:

October 19, 2009

Hikmah Perlaksanaan Hukum Hudud Menurut al Quran dan Sains

HIKMAH PERLAKSANAAN HUDUD

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu dera masing-masing dengan 100 rotan dan janganlah kamu berasa kasihan belas terhadap keduanya dalam melaksanakan perintah Allah jika kamu beriman kepada Allah dan pada hari kemudian.Hendaklah hadir ketika dijatuhkan hukumun terhadap mereka sekumpulan dikalangan orang-orang yang beriman” (An-Nur:2, al Quranul Karim)

PANDANGAN ULAMA TAFSIR

Hukuman keatas penzina lelaki dan perempuan yang merdeka, berakal dan yang masih bujang atau dara yang masih belum berkahwin adalah disebat dengan seratus sebatan setiap seorang. Hikmah memulakan hukuman keatas perempuan dalam kes zina dan memulakan hukuman keatas lelaki ketika kes mencuri adalah kerana kes zina selalunya terjadi disebabkan oleh golongan perempuan yang boleh mengaibkanya lebih daripada lelaki dan lebih memberi kesan keatasnya, manakala dalam kes mencuri pula selalunya berlaku keatas orang lelaki kerana mereka lebih berani dan lebih merbahaya daripada orang perempuan dalam melakukan perkara itu maka didahulukan orang lelaki daripada orang perempuan.hudud

Pada zahir ayat ini menerangkan akan ketetapan hukuman keatas penzina â€penzina iaitu 100 sebatan rotan tetapi telah ditetapkan di dalam Sunnah yang Qat’ie dan penzina yang belum berkahwin dan yang telah berkahwin. Adapun hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sehingga mati mengikut Sunnah secara lisan dan perbuatan. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud Bahawasanya Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam telah bersabda:

“Tidak halal darah orang-orang Islam kecuali belarkunya salah satu daripada tiga perkara iaitu orang yang telah berkahwin berzina, orang yang membunuh dengan sengajacdan keluar daripada agamanya juga berpecah daripada jamaah orang-orang Islam”

Janganlah kamu berlembut dan berasa belas kasihan ketika hendak melakukan hukuman keatas penzina kerana ini adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah juga tidak boleh merosakkan hudud Allah yang telah ditetapkan dan sebagaimana  sabda Nabi Muhammad  SAW daripada apa yang telah diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Kutub as-Sittah daripada Aisyah radhiAllahu anha:

“Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walaupun sekiranya Fatimah bt Muhammad mencuri Sesungguhnya aku akan potong tanganya”

Maka dirikanlah hudud keatas orang-orang yang melakukan perbuatan zina dan pukullah mereka itu dengan pukulan yang menyakitkan untuk memberikan pengajaran keatas mereka jika kamu beriman dengan Allah SWT dan hari Akhirat.

Dan dirikanlah hudud secara terang-terangan dihadapan sekumpulan daripada orang-orang Islam tambahan balasan bagi orang yang berzina.Sesungguhnya penzina-penzina itu apabila disebat di hadapan orang ramai akan memberi kesan yang lebih untuk mencegah mereka daripada melakukan  perbuatan itu lagi. Telah berkata Qatadah:

“Allah S.W.T telah memerintahkan sekumpulan daripada oraang-orang yang beriman untuk melakukan penyaksian ketika hukuman itu dijalankan adalah kerana untuk memberi peringatan, nasihat dan pengajaran”.

Kes-Kes zina ini disabitkan dengan salah satu daripada  perkara berikut :

1- Iqrar atau pengakuan : Ini selalunya berlaku ketika pemerintahan Islam Keterangan atau penyaksian: Iaitu penyaksian 4 orang saksi lelaki yang merdeka, adil dan beragama Islam dan melihat dengan mata mereka sendiri. Ini sangat jarang berlaku dan tidak terhasil kecuali sedikit.

2- Mempunyai hubungan dengan perempuan yang tidak mempunyai suami yang boleh dikenali baginya.

PERBAHASAN

Apabila Allah menjadikan manusia Allah juga menjadikan bersama kejadian manusia itu undang-undang yang dapat mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kesengsaraan akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri.Terdapat 17 jenis kesalahan yang dihukumkan dengan hukum hudud antaranya hukum bagi mereka yang melakukan penzinaan.Apabila sabit dua kesalahan terdapat dua jenis hukuman bagi dua kategori manusia yang melakukan kesalahan itu ;
1. Sebat 100 rotan untuk yang belum berkahwin
2. Rejam sampai mati untuk penzina yang sudah berkahwin

Kenapakah terdapat perbezaan di dalam hukuman yang di jalankan bagi kesalahan yang sama tetapi dilakukan oleh jenis manusia yang berbeza?
Sepintas lalu, Ulama’ menggariskan bahawa menghukum mereka yang belum berkahwin jika disabitkan kesalahan dengan 100 rotan adalah wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang melakukanya ataupun remaja yang berkeinginan mencubanya. Hukuman sebat ditentukan bagi penzina jenis adalah kerana mereka belum pernah merasa nikmat perkahwinan.Keinginan mereka adalah disebabkan dorongan nafsu yang kadangkala dapat mengatasi fikiran manusia sehingga menjerumuskanya melakukan kesalahan zina.

Rejam sampai mati pula adalah hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina yang sudah berkahwin kerana penzina jenis ini sudah merasai nikmat perkahwinan dan tidak ada alasan yang boleh diterima sebagai kemaafan kerana dikhuatiri tabiat mereka itu akan merosakkan banyak manusia. Rejam sampai mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia jenis ini.

HIKMAH DISEBALIK PERLAKSANAAN HUDUD

Buat penzina yang belum berkahwin.mereka mempunyai antibody T4 Limfosit yang kuat dan masih bertenaga. Jika sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaanya,T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV Aids yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfositnya musnah sehingga menyebabkan mati dan akhirnya sel sum-sum tulangnya mengalami kelumpuhan dan fibrosis dan tidak lagi dapat lagi menghasilkan sel-sel T4 yang baru. Badan akan lemah dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit akan menyerang.

Pesakit jenis ini juga mempunyai kemungkinan untuk disembuhkan. Tetapi dengan syarat ia mesti didera dan badannya mesti mengalami kesakitan yang banyak bagi meransang penghasilanan sel-sel T4 yang baru serta mengelakkan sum-sum tulang daripada fibrosis.Cara terbaik adalah dengan menyebat diantara bawah tengkuk dan di atas pinggang di bahagian belakang dengan sebatan yang akan meransang penghasilan semula antibodi T4 yang baru dan pesakit tersebut boleh sembuh daripada AIDS selepas antibodi sel-sel T4 Limfositnya itu boleh menguasai HIV AIDS.

Jika sekiranya pesakit tersebut sudah berkahwin .apabila dihinggapi virus AIDS,sel-sel T4 mereka telah lemah berbanding dengan sel-sel T4 kepunyaan mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang mengalami sedikit hakisan dan kurang menghasilkan antibodi kerana lebih banyak ditumpukan kearah menghasilakan benih-benih bagi tujuan menghasilkan sperma-sperma baru. Penzina jenis ini tidak akan dapat diselamatkan daripada virus HIV AIDS dan rejam sehingga mati adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit di samping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang lain takut untuk melakukan kesalahan yang sama.

IMUNITI DAN HIKMAH PELAKSANAAN HUDUD

Sistem imuniti badan manusia adalah menepati sistem pentadbiran dan pertahanan sesebuah negara Islam.Di dalam badan manusia terdapat berjuta-juta sel yang terdiri kebanyakanya daripada protein. Begitu juga keadaanya antibodi yang terdiri 100% daripada protein. Salah satu keistimewaan bagi haiwan vertebrata ialah keupayaan antibodinya mengenali kandungan asal badan (yang di panggil sel asal)dan benda-benda yang datang dari luar. Tindakbalas imuniti adalah merangkumi kesemua aktiviti yang pada akhirnya menghasilkan penghapusan bahan-bahan luar (foreign materials) samaada melalui proses kecederaan atau tidak .Tindakbalas imun adalah merangkumi dua fenomena yang asas:
1.Tindakbalas humoral (tindakan antibody)
2.Tindakbalas pembaikan sel

Toleran (ketiadaan tindakbalas imun) adalah juga salah satu daripada mekanisme tindakbalas imun yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan yang memelihara tindakbalas imun terhadap sel sendiri. Dalam banyak hal, mekanisme pertahanan badan (tindak balas imun) adalah seolahâ€olah sebuah sistem pengawalan (undang-undang hudud) yang di wujudkan bagi tujuan pengawalan.Sistem ini akan dapat mengenali antara orang asing dan penduduk tetap sebuah negeri. Orang asing yang di anggap mengancam keselamatan akan dihapuskan dengan di hukum dan penduduk asal negeri tersebut yang baik akan di tolerankan. Maka yang menyeleweng di kalangan penduduk asal negeri itu juga turut dihapuskan bagi tujuan keselamatan dan sistem sosial yang teratur itu.

Masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang hudud yang telah di tentukan oleh Allah itu adalah seolah-olah masyarakat yang sedang dilanda AIDS dimana kesemua unsur asing budaya dan kehidupan yang boleh membahayakan manusia dan boleh memusnahkan kehidupan manusia dibolehkan masuk seluas-luasnya tanpa sebarang pengawasan.Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang segala-gala keperluan biologis, psikologi dan mental manusia. Adalah menjadi satu perkara yang boleh merosakan manusia apabila manusia cuba menentukan haluan mereka sendiri yang mereka sendiri tidak faham dan tidak tahu. Sedangkan Allah ,Tuhan yang menjadikan dan menciptakan yang paling arif dan tahu tentang keperluan-keperluan manusia serta sistem pengawalanan yang dapat  mengawal manusia daripada terjerumus ke lembah perhambaan nafsu yang boleh memusnahkan manusia itu sendiri.

HIKMAH MANDI WAJIB

Adalah banyak diketahui oleh pakar sains bahawa di bawah kulit manusia terdapat banyak mikroorganisma yang hidup komensal. Mikroorganisma ini akan keluar dan berada di hujung rambut dan bulu roma setiap kali manusia berpeluh atau selepas melakukan hubungan kelamin dengan isteri @ suami. Sudah tentulah badan akan menjadi kotor dan organisma ini akan mudah berjangkit kepada orang lain apabila ia keluar dan berurusan tanpa mandi junub.

Bakteria ini jika sekiranya mempunyai peluang untuk menguasai badan kita ketika daya tahan badan manusia menjadi lemah akan mengambil kesempatan dan akan menjadi parasit dan boleh menyebabkan jangkitan di tubuh badan kita. Itulah sebabnya Islam menetapkan mandi junub sebagai cara pembersihan diri dan tubuh badan daripada tercemar daripada bakteria tadi. Keluar berjual-beli, makan, minum, berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain dalam keadaan berjunub adalah makruh.Allah Yang Maha Mengetahui tentang makhluk yang diciptakannya ini telah menetapkan bahawa manusia mesti mandi wajib selepas setiap kali datang haid nifas dan bersetubuh.

Ia adalah bagi tujuan pembersihan dan penyucian diri.Apabila bakteria tadi terkena atau dikenakan padanya air yang dapat menghilangkanya dari badan ,ia akan mati dan tidak dapat menjangkiti orang lain. Maka terselamatlah manusia daripada jangkitan dan wabak penyakit sekaligus dan meneruskan hidup dalam keadaan bersih dan sihat.

TAYAMMUM PENGGANTI MANDI JUNUB

Kenapakah tayammum dapat menggantikan mandi junub dan wudu’( dua jenis penyucian diri dalam Islam ) dalam keadaan air di tempat yang kering-kontang? Bakteria apabila terkena air akan mati disebabkan tekanan osmosis di dalam badannya sehingga air boleh menyerap masuk ke dalam badan dan akhirnya ia mati kerana mengalami overhydration. Begitu juga halnya apabila bakteria tadi didedahkan kepada keadaan yang terlalu kering dan kontang seperti apabila dikenakan padanya debu..Ia akan mati setelah air badannya keluar kerana tekanan osmosis lebih rendah daripada tekanan osmosis di luar badan menyebabkanya mati kerana air badan keluar dan kerana kekontangan fisiologi badan. – MANHAL

Oleh: Dr. Jamnul Azhar Hj. Mulkan.

Carian kesini:

July 11, 2009

Ke Makkah (umrah, haji) sudah, tapi masih dedah aurat

RASULULLAH s.a.w. sewaktu Israk dan Mikraj telah diberi kesempatan oleh ALLAH SWT melihat ke dalam neraka. Ternyata kebanyakan penghuninya terdiri daripada wanita. Mereka menerima azab dan seksa yang amat menggerunkan.

Jika diteliti beberapa perkara yang dikaitkan dengan wanita, amat jelas masalah AURAT adalah masalah utama yang menyebabkan sebilangan besar golongan wanita diazab oleh Allah di dalam neraka, tetapi masalah ini jugalah yang paling susah hendak diterima oleh wanita.

Ada kalangan wanita menutup aurat tapi dalam masa yang sama memakai seluar ketat atau baju yang masih menampakan susuk tubuh mereka.  Ada yang menutup aurat tetapi masih bergaul bebas dengan lelaki ajnabi atau masih mudah bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram mereka.

Persolannya, apakah mereka menutup aurat kerana memenuhi tuntutan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam al-Quran atau sekadar fesyen atau meniru atau sekadar melepas batuk ditangga?  Kalau ini tujuannya, mereka masih terdedah kepada azab Allah atau masih jahil atau buta agama.

Perlu diingat, bagi isteri yang tidak menutup aurat dan suami pula tidak pernah menyuruh isteri menutup aurat sebagai mematuhi perintah Allah malahan bangga pula kecantikan isterinya yang mendedah aurat dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka lelaki begini digolongkan sebagai lelaki dayus dan diharamkan oleh Allah untu memasuki syurga walaupun si suami rajin mengerjakan rukun Islam tetapi dalam masa yang sama suami ini telah derhaka dan menolak tuntutan rukun iman.

aurat

Begitu juga si bapa yang reda anak-anak perempuan tidak menutup aurat juga termasuk dalam golongan lelaki dayus. Apatah lagi jika si isteri atau si anak perempuan bebas bersalaman dengan lelaki bukan mahram serta bergaul bebas.

Puak Kristian, setelah kalah dalam Perang Salib telah mengatur rancangan yang sungguh halus untuk merosakan akidah umat Islam.

Mereka tidak perlu mengajak umat Islam murtad dengan cara menukar agama tetapi mereka berjaya memurtadkan umat Islam secara halus dan secara tidak sedar, iaitu dengan cara meragukan syariat Islam di hati-hati umat Islam, mempersendakan syariat Islam, menolak perkara-perkara wajib malahan yang sunat pun ada kalangan umat Islam memperlekehkannya.

Mendedahkan aurat juga adalah salah satu kejayaan Barat merosakkan akidah umat Islam apabila ada umat Islam yang secara jelas sama ada melalui lisan atau perbuatan atau tindakan mempermain-mainkan hukum  menutup aurat secar terbuka dan jelas.

Perlu diingatkan, apabila terdapat pemimpin yang berapi-api kononnya bercakap tentang Islam, kononnya mempertahankan Islam, tapi dalam masa yang sama kita lihat isteri serta anak-anak perempuan sendiri pun menderhaka kepada Allah secara terbuka (dedah aurat) ketahuilah inilah yang dikatakan golongan fasik lagi munafik.  Orang begini tidak layak dilantik atau dipilih menjadi pemimpin kerana derhaka kepada Allah secara terang dan angkuh.

Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka.  Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang.

Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, �Perempuan itu aurat.  Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia�. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah?

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak.

Pelik pada zaman mutakhir ini, ada kalangan wanita kerap pergi menunaikan umrah (kali kedua dan seterusnya) sedang umrah itu hukumnya sunat, menutup aurat itu wajib. Jika mereka tidak melakukan umrah untuk kali kedua dan seterusnya, tidak akan ditanya oleh Allah, tetapi tidak menutup aurat akan diazab.

Mereka dahulukan yang sunat dan tinggalkan yang wajib.  Mengapa, kerana jahil, buta agama dan tidak mendapat hidayah.

Sabda Rasulullah s.a.w. �Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun�  (riwayat Muslim).

Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita  yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi �Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj ) dedah aurat dan berhias-hias).

Apa gunanya kita melakukan taubat dengan menangis, meratap, tetapi sebaik sahaja habis kita keluar rumah dalam keadaan menderhaka semula kepada Allah (dedah aurat atau bersalaman dengan bukan mahram).

Bukankah ini mempersendakan Allah namanya, maka azab bertambah berat kelak.

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi reda melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas.

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman.

Ini belum dikira dosa-dosa lain seperti memilih pemimpin atau pemerintah yang derhaka kepada Allah, melabur wang melalui pelaburan yang diragui halal akan pelaburanya (tidak diselidik secara terperinci), terlibat dengan riba, mendapat projek secara rasuah dan pelbagai lagi dimana semua ini menjuruskan kepada neraka Allah.

Sumber Harakahdaily.

Carian kesini:

July 6, 2009

Islamkah Michael Jackson?

“Semoga Allah sentiasa bersamamu, Michael,” kata Jemaine Jackson ketika mengumumkan kematian adiknya.

Kenyataan Jermaine itu menggamit jutaan ulasan daripada umat Islam yang mengharapkan wujudnya hubungan antara ikon pop itu dengan Islam.

Kematian Michael Jackson pada usia 50 tahun menjadi satu acara global hingga memperlahankan Internet dan dalam beberapa kes, menyebabkan laman web tergendala.

jackson

Sejumlah besar masyarakat Islam dari seluruh dunia turut menyerbu laman net Islam yang berpusat di Barat dengan harapan pertama, untuk memastikan sama ada laporan mengenai Michael memeluk Islam itu benar dan sama ada mayatnya akan dimandi dan disembahyangkan seperti yang dilakukan ke atas setiap orang Islam yang meninggal dunia dan kedua, untuk mengucapkan takziah dan meluah rasa sedih dengan cara masing-masing.

Persoalan mengenai hubungan Michael dengan Islam berada dalam pemikiran kebanyakan orang Islam dan sebahagian besar mereka memang berharap dan yakin dia benar-benar memeluk Islam.

Jika benar, memang patut umat Islam berdoa agar roh Michael dicucuri rahmat Allah swt.

Terdapat beberapa petunjuk yang menunjukkan Michael Jackson memang memeluk Islam.

Abangnya Jermaine memeluk Islam sejak lebih 20 tahun lalu dan bercakap secara terbuka mengenainya. Pada 2005, Michael menetap hampir setahun di Bahrain, negara Islam. Pada November 2008. beberapa agensi berita melaporkan penyanyi itu memeluk Islam dalam satu upacara ringkas di Los Angeles.

Bagi kebanyakan masyarakat Islam, keputusan Michael menetap di Baharain dan muncul dengan berpakaian burqa mengesahkan dia memeluk agama itu.

Tetapi, ada juga tanda menunjukkan laporan keislaman Michael itu tidak benar.

Peguam Michael di New York, Londell McMillan, ketika mengulas laporan akhbar pada November tahun lalu, menafikannya.

“Mengarut. Ia langsung tidak benar,” kata McMillan kepada wartawan.

Tetapi, beberapa tokoh Islam masih berkeras mempertahankan keislaman penyanyi itu, termasuk seorang imam Amerika Syarikat, Imam Zaid Shakir yang menulis beberapa hari selepas kematian Michael: “Seorang rakan baik yang boleh dipercayai menelefon dan berkata, Michael sudah memeluk Islam. Ketika itu, dia cuba menghasilkan album bersama seorang pemuzik terkenal Islam, Dawud Wharnsby dan seorang lagi penghibur Islam. Menyedari Michael berdepan dengan masalah dan tertekan, kedua-duanya mengajak Michael memeluk Islam. Dia menerima pelawaan itu dan memeluk Islam pada 21 November 2008. Michael bukan asing dengan agama itu kerana sudah didedahkan oleh abangnya, Jermaine yang memeluk Islam pada 1989.”

Malangnya, ‘sumber yang boleh dipercayai’ Zaid Shakir mengenai cerita itu adalah tidak benar. Dalam blognya, Dawud mendedahkan, dia tidak pernah menemui Michael Jackson.

“Ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan hubungan peribadi saya dengan Michael Jackson. Pada 21 November 2008, akhbar the Sun (UK) melaporkan, Michael memeluk Islam menerusi persahabatan dengan saya dan rakan saya, Idris Phillips ketika satu sesi rakaman di Los Angeles. Untuk pengetahuan umum: Walaupun, terbabit dalam bidang yang sama, namun saya tidak pernah mendapat penghormatan untuk menemui Michael secara peribadi, atau berhubung dengannya mengenai profesyen, kehidupan peribadi atau agama,” kata Dawud ketika mengulas kematian Michael dalam blognya.

Terdapat juga laporan yang mendakwa seorang pemuzik Islam yang hadir pada majlis itu ialah Yusuf Islam atau Cat Stevens. Yusuf Islam juga menafikan mengetahui mengenai keislaman Michael.

“Bertentangan dengan khabar angin yang disebar akhbar, saya tidak pernah terbabit dalam sebarang majlis pengislaman Michael. Saya juga percaya Dawud Wharnsby dan beberapa nama, termasuk Idris Phillips, yang disebut dalam laporan itu, juga tidak terlibat.

“Saya berada di Los Angeles ketika khabar angin itu tersebar – tetapi saya sibuk dengan rakaman video untuk lagu baru, Boots and Sand.

“Saya pernah menemui Jermaine Jackson, abang Michael yang memeluk Islam beberapa tahun lalu. Bagi Michael, saya berharap dia mendapat ketenteraman dan kembali membuat muzik yang boleh memberi inspirasi kepada generasi,” kata Yusuf tidak lama dulu.

Dalam erti kata lain, keghairahan masyarakat Islam, interaksi Michael dengan keluarga diraja Arab dan kewartawanan yang buruk mungkin menyumbang kepada laporan mengenai keislaman Michael.

Sementara kenyataan Jemaine pada sidang akhbar (Semoga Allah sentiasa bersama kamu, Michael), tidak ada kena mengena dengan keislaman penyanyi itu kerana ia mungkin ucapan spiritual peribadi Jermaine dan caranya tersendiri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada adiknya.

Hanya Allah saja maha mengetahui isi hati hambanya dan Dia juga yang berhak mengadilinya.

Sumber hmetro.

Carian kesini: